MAIM SASAR KUTIPAN ZAKAT 2024 CECAH RM135 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 20 September – Jumlah keseluruhan kutipan zakat bagi Negeri Melaka pada tahun ini disasarkan meningkat kepada RM135 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, pada 2023 jumlah kutipan zakat dilaksanakan menerusi Zakat Melaka Sdn Bhd adalah sebanyak RM128 juta.

“Setakat 31 Ogos, MAIM telah membelanjakan sebanyak RM102.7 juta untuk membiayai keperluan lapan kumpulan asnaf melalui pelbagai bentuk program dan skim bantuan.

“Antaranya skim bantuan makanan bulanan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf berjumlah RM17.3 juta; skim bantuan persediaan Ramadan, Aidilfitri dan Aidiladha berjumlah RM8.9 juta; skim bantuan pakaian sekolah kepada anak-anak penerima bantuan asnaf sebanyak RM1.9 juta, kos pengurusan dan rawatan dialisis di panel pusat dialisis MAIM termasuk di Yayasan Toh Puan Zurina berjumlah RM3.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan September 2024 anjuran MAIM di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad, ketua-ketua jabatan dan agensi serta para penjawat awam Negeri Melaka.

Ab Rauf, turut memaklumkan Kerajaan Negeri optimis dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan sosial rakyat terus dijadikan maqasid utama.

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk mensejahterakan rakyat menerusi pelbagai kaedah dalam usaha memposisikan Melaka sebagai sebuah negeri yang ‘Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur.

“Untuk rekod,tahun 2023, MAIM telah mengagihkan sebanyak RM137 juta dengan mengguna pakai dana kutipan zakat tahun semasa dan dana terkumpul,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

45
Kongsi :
Previous post CARI PENYELESAIAN BANJIR MASJID TANAH, ALOR GAJAH – KM
Next post PELANCONG KE MELAKA NAIK MENDADAK
Ubah saiz-+=