
MAIM salur bantuan Musa’adah kepada 1,000 penerima.
AYER KEROH 1 Feb. – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyalurkan bantuan kepada kira-kira 1,000 penerima membabitkan fakir miskin serta golongan yang terkesan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bagi membendung pandemik COVID-19.
Setiausahanya, Muhammad Ikram Ibrahim berkata, sumbangan barangan keperluan asas itu menerusi peruntukan Tabung Musa’adah MAIM.
“Selain penerima kalangan golongan fakir, sumbangan turut diserahkan kepada wakil antaranya Persatuan Gunting Rambut Melaka, Persatuan Beca Melaka, Persatuan Bas Sekolah, Persatuan Nelayan dan Persatuan Teksi Negeri.

“Semua persatuan ini akan mengagihkan bantuan diberikan kepada ahli masing-masing dan kita berharap barangan keperluan asas ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh PKP 2.0 dijalankan,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan di lobi MAIM, hari ini.
Hadir sama, Ketua Bilik Gerakan Agensi Agama Islam Melaka, Mohd Rizalman Syed.
Muhammad Ikram berkata, penyerahan sumbangan akan terus diadakan bagi memastikan semua golongan yang memerlukan di negeri ini dibantu.
“Kita beri sumbangan pada hari yang telah dijadualkan dan ia bergantung kepada berapa ramai penerima yang dikenal pasti,” katanya lagi.