Sorting by

×

MAIM PERUNTUK RM14.8 JUTA BAGI PEMBANGUNAN MUALAF

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 Mac – Peruntukan zakat berjumlah RM14.8 juta disediakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi tujuan pembangunan mualaf sepanjang tahun ini.

Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, peruntukan itu bagi menjaga kebajikan selain melaksanakan pelbagai program membabitkan mualaf di negeri ini.

Katanya, peruntukan itu juga sedikit sebanyak dapat membantu golongan tersebut menempuh cabaran sebagai Muslim dan ia memastikan nasib saudara baharu ini terbela.

“Pada tahun lalu, kita telah membelanjakan sebanyak RM12.5 juta dan pada tahun ini dijangka jumlah tersebut akan bertambah berikutan kadar kutipan Zakat Fitrah telah meningkat.

“Pada setiap tahun biasanya kita meletakkan peruntukan satu per lapan daripada kutipan zakat iaitu sekitar RM17 juta hingga RM18 juta. Pada tahun lepas jumlah kutipan zakat bernilai RM142 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Jamai’e Mualaf Sempena Hari Nuzul Quran Tahun 2025/1446 Hijrah di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut seramai 49 mualaf turut diraikan selepas berjaya khatam Al-Quran dalam tempoh kurang dari tiga minggu.

Mengulas lanjut, Mohd Hairulamin memaklumkan peningkatan jumlah peruntukan adalah selaras dengan kenaikan kutipan zakat dalam lingkungan 10 peratus.

“Peruntukan kepada mualaf juga kita naikkan sebanyak 10 peratus untuk perbelanjaan dan kebajikan golongan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post LELAKI MAUT DALAM KEBAKARAN RUMAH
Next post DUA SEPUPU SEPAKAT TERUSKAN LEGASI BAHULU ‘CRISPY’