MAIM PERJELAS KISAH SEBENAR ‘SUAMI ISTERI’ CURI MILO UNTUK RAWATAN IBU

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 30 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tampil memberi penjelasan sebenar mengenai kisah ‘suami isteri’ yang didakwa mencuri di sebuah pasar raya di Ayer Keroh untuk menampung rawatan dialisis ibu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman memaklumkan, laporan yang disiarkan itu adalah tidak tepat memandangkan kedua-dua pelaku lelaki dan wanita bukanlah suami isteri sebaliknya pasangan kekasih memandangkan wanita berkenaan masih berstatus isteri orang.

Malah, beliau yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, hasil siasatan Skuad Agihan Zakat cawangan Merlimau bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) mendapati ibu pelaku lelaki tidak menerima rawatan dialisis kerana hanya menghidap penyakit kencing manis.

Disebabkan berita tersebut tular, ujar beliau, Zakat Melaka telah menerima kecaman ramai di media sosial, justeru pihaknya tampil untuk menjelaskan perkara sebenar.

“Berdasarkan rekod MAIM, suami yang sah kepada pelaku wanita merupakan penerima bantuan aktif MAIM yang menerima Bantuan Makanan Kecemasan, Bantuan Makanan Bulanan, Bantuan Saraan Anak Sekolah dan juga Bantuan Pakaian Sekolah berjumlah RM940 sejak tahun 2018 hingga sekarang.

“Suami pelaku wanita mendakwa isterinya telah melarikan diri dari rumah untuk bersama kekasihnya yang juga pelaku lelaki dalam kes ini.

“Rekod MAIM juga mendapati, pelaku lelaki juga pernah hadir ke kaunter pejabat zakat dan menerima bantuan kecemasan,”katanya.

Tambah Rahmad, selaku agensi yang menguruskan skim bantuan agihan zakat, MAIM tidak pernah meminggirkan mana-mana pihak dalam kesusahan kerana telah menyediakan 29 skim bantuan.

Jelas beliau, daripada Januari hingga Julai tahun ini, MAIM telah membelanjakan RM13 juta untuk Bantuan Makanan Bulanan kepada 7,869 asnaf fakir dan miskin di negeri ini.

Selain itu, ujar beliau, mana-mana individu juga tidak perlu mencuri untuk dijadikan alasan menampung kos rawatan dialisis kerana MAIM turut menyediakan Skim Rawatan Dialisis dengan syarat utama individu tersebut merupakan penerima bantuan MAIM, tidak menerima apa-apa bantuan daripada JPA atau PERKESO dan pendapatan di bawah kadar had kifayah.

“Buat masa ini, seramai 240 orang asnaf telah menerima bantuan dialisis MAIM dan kesemua mereka boleh membuat dialisis di tujuh buah pusat dialisis yang dilantik MAIM di seluruh Melaka.

“Setakat Januari hingga Julai 2024, MAIM telah membelanjakan RM2.69 juta untuk membiayai bantuan rawatan dialisis,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmad menyeru orang ramai supaya menerapkan konsep tabayun (selidik) sesuatu maklumat sebelum disebarkan supaya masyarakat lain tidak keliru dengan pelaksanaan pengagihan zakat di Melaka.

“Pengagihan zakat yang telus dan amanah merupakan motto yang kami pegang kerana ia bukan sahaja amanah daripada pembayar zakat, tetapi juga kepada Allah SWT,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5561
Kongsi :
Previous post REMAJA LARI MASUK HUTAN SELEPAS DIMARAHI ABANG
Next post ‘BIJAK SPM’ PERKASA MUTU PENDIDIKAN MELAKA
Ubah saiz-+=