MAIM PASTIKAN ANAK ASNAF TERUS BERSEKOLAH

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 9 September – Misi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melahirkan anak asnaf cemerlang mencapai objektif apabila ramai dalam kalangan murid dan pelajar berasal daripada keluarga kurang berkemampuan memperoleh kejayaan dalam akademik

Kejayaan itu adalah hasil kesungguhan dan keprihatinan MAIM dalam memastikan tidak ada anak-anak asnaf keciciran atau ketinggalan daripada mendapat peluang pendidikan.

Hasil kesungguhan itu dapat dilihat apabila seramai 142 murid dan pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga asnaf termasuk tiga Ikon Pelajar Cemerlang 2024 diraikan pada Majlis Anugerah Tunas Inspirasi MAIM 2024 (MATIN 2024).

Bagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang juga Ikon SPM 2023, Irfan Danish Abdul Khalid, 18, berkata, sokongan dan bantuan yang diberikan oleh MAIM banyak membantu dalam memastikan dia serta adik-beradiknya meneruskan sesi persekolahan.

“Boleh dikatakan saya antara yang bertuah kerana kami sekeluarga banyak menerima bantuan MAIM, ia termasuk bantuan makanan dan perbelanjaan bulanan.

“Tidak cukup dengan itu MAIM turut anjurkan program seperti kem motivasi bagi membantu anak-anak asnaf melakukan persediaan bagi menduduki peperiksaan,” katanya.

Penerima Anugerah Tunas Inspirasi MAIM 2024 yang memperoleh 9A itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Tunas Inspirasi MAIM 2024 (MATIN 2024) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, semalam.

Terdahulu majlis disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, hadir sama Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad serta Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Penuntut Program Asasi Sains Hayat, Universiti Malaya (UM) itu berkata, kurang berkemampuan atau kemiskinan bukan lagi alasan buat seseorang untuk tidak meneruskan pembelajaran kerana banyak bantuan disediakan khususnya dari majlis agama.

“Janganlah mengambil jalan mudah dengan berhenti sekolah disebabkan kurang mampu atau miskin, cubalah dapatkan bantuan supaya pembelajaran dapat diteruskan.

“Kerana untuk golongan asnaf atau yang tidak berkemampuan banyak bantuan disediakan asalkan kita betul-betul ingin belajar dan mengubah nasib keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

153
Kongsi :
Previous post ALAMI ‘DUNIA TERBALIK’ TAMAN MINI SIGUA
Next post URUSAN BEKALAN, PERKHIDMATAN MELALUI SISTEM e-PEROLEHAN, iGFMAS ELAK PENIPUAN – DOA
Ubah saiz-+=