MAIM NAIKKAN KADAR BANTUAN, PERKENAL SKIM BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 20 September – Bagi melapangkan lagi kesukaran asnaf seluruh negeri ini, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menaikkan kadar dan memperkenalkan skim bantuan yang baharu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi MAIM berkata, kenaikan itu dilaksanakan selepas mengambil kira keperluan dan kos sara hidup yang semakin mencabar.

Katanya, usaha itu dilihat sebagai langkah proaktif dengan memperkenalkan kenaikan kadar skim-skim bantuan zakat dan pengenalan skim bantuan baharu dalam memastikan kesejahteraan golongan yang memerlukan terus terpelihara.

“Kadar Skim Bantuan Makanan Bulanan bagi asnaf telah dinaikkan daripada RM300 bagi golongan asnaf fakir kepada RM400. Sementara itu Skim Bantuan Sakit Kronik juga telah dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi golongan asnaf miskin dan RM300 bagi golongan asnaf fakir.

“Seterusnya, pengenalan skim bantuan baharu iaitu skim Bantuan Bayaran Cucian Luka, Bantuan Bayaran Ambulans dan Bantuan Ibu Bersalin.

“Saya yakin dan percaya inisiatif ini mencerminkan komitmen institusi zakat dalam menyantuni keperluan rakyat yang memerlukan sekali gus memperkukuh peranan zakat dalam pembangunan ekonomi Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan September 2024 anjuran MAIM di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad, ketua-ketua jabatan dan agensi serta para penjawat awam Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

50
Kongsi :
Previous post HERO SELAMATKAN DUA REMAJA HAMPIR LEMAS
Next post PENIAGA MAKANAN RUGI RM200,000 DIPERDAYA SINDIKET PELABURAN TIDAK WUJUD
Ubah saiz-+=