MAIM didik mualaf ilmu rumah tangga cara Islam

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Kursus Pasca Awal Perkahwinan Mualaf yang dianjurkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memberi ruang kepada pasangan pengantin baharu menimba ilmu rumah tangga cara Islam dengan lebih mendalam.

Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, menerusi kursus itu, peserta terbuka untuk bertanyakan sebarang keraguan atau tanggungjawab dalam institusi kekeluargaan Islam.

Katanya lagi, kursus yang diadakan juga bertujuan sebagai tambahan pengisian kepada pasangan pengantin baharu dalam mendapatkan perkongsian ilmiah.

“Kita sedia maklum sebelum majlis pernikahan mereka sudah mengikuti kursus perkahwinan dan kebiasaannya dalam skala yang besar ini mungkin mereka segan atau malu jika ingin bertanya soalan.

“Jadi kita adakan kursus dalam kumpulan kecil dan kalangan sesama mereka, untuk itu mereka berlapang dada untuk bertanya akan sebarang keraguan atau tentang tanggungjawab sebagai seorang isteri dan suami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Pasca Awal Perkahwinan Mualaf Negeri Melaka Siri I/2024, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Hairulamin, menerusi program itu, pihaknya berharap ia dapat menambahkan lagi pengetahuan dan kemahiran dalam melayari ilmu rumah tangga buat mualaf dan pasangan mereka.

“Bagi pihak Balai Islam kita memang sentiasa menyediakan kemudahan program untuk memastikan setiap mualaf dibimbing diberikan sepenuhnya panduan dalam pengurusan segala aspek kehidupan.

“Contohnya sebelum ini kita adakan majlis pernikahan dan untuk siri ini kita mengadakan tambahan pengisian kursus kerana kita ingin bekalkan mereka dengan beberapa perkongsian ilmiah sebagai bekalan dalam mengharungi kehidupan rumah tangga sekali gus menjadi Muslim yang dihormati,” katanya.

Jelasnya, pada tahun ini, dijangka akan berlangsung tiga siri yang akan membabitkan kira-kira 15 pasangan namun sekiranya ada permintaan dalam jumlah yang ramai pihaknya amat mengalu-alukannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

133
Kongsi :
Previous post Kereta terbabas langgar pagar Istana Besar
Next post Tun Dr. Mohd Ali diangkat Tokoh Kepimpinan Sukan
Ubah saiz-+=