MAIM dan JAIM ambil alih SM Imtiaz Ulul Albab
LENDU 2 Ogos – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju kerajaan negeri mengambil alih pentadbiran, termasuk pembiayaan kewangan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Ulul Albab daripada Yayasan Akal Budi yang diasaskan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan membiayai kos operasi sekolah berkenaan berasaskan kejayaannya mengeluarkan pelajar cemerlang dari aspek agama, al-Quran dan akademik.
Katanya, kerajaan negeri tidak akan melepaskan sekolah berkenaan kepada Kementerian Pendidikan untuk dijadikan Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan (SBPK), sebaliknya kekal dengan kurikulumnya sendiri yang sudah dipraktikkan sejak ia ditubuhkan kira-kira empat tahun lalu.
“Sekolah ini berjaya melahirkan pelajar cemerlang dari pelbagai aspek dan amat sayang kalau kita tidak menjaganya.
“MMKN sudah membincangkan perkara ini dan kami setuju supaya MAIM dan JAIM mengambil alih pertadbiran dan segala aspek berkaitan pembiayaan operasi sekolah ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Khas Asasi Ulul Albab 2020 sekolah itu di Durian Daun, Masjid Tanah hari ini.
Pelajar tingkatan satu, Aniq Darwisy Mohd Zaini dipilih sebagai Tokoh Ulul Albab manakala tiga pelajar dipilih sebagai penerima Tokoh al-Quran, Tokoh Bahasa Arab dan Tokoh Personaliti.
Turut hadir, Ahmad Zahid; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat; Pengerusi Ulul Albab, Datuk Hisham Abdul Majid dan Pengetua sekolah itu, Azharizan Yaacob.
Sekolah berkenaan mempunyai 241 pelajar tingkatan satu hingga lima yang mengikuti kurikulum khas dalam bidang akademik, hafazan al-Quran dan agama.
Sulaiman berkata, meskipun ibu bapa pelajar terbabit yang kebanyakan mereka adalah golongan profesional ada membayar yuran bulanan, namun ia tidak cukup untuk membiayai kos operasi.
Katanya, selepas meneliti implikasi kewangan kos berkenaan ke atas MAIM dan JAIM, kerajaan negeri bersetuju mengambil alih sekolah itu bagi memastikan ia mampu melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang yang seimbang dari aspek kejayaan akademik dan agama, terutama mereka yang huffaz al-Quran.
Beliau berkata, selain membiayai kos gaji guru, pembiayaan itu juga membabitkan pembiayaan makanan, minuman, operasi bangunan dan seumpamanya.
Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan jumlah pembiayaan itu.
Sulaiman berkata, dengan pembiyaan berkenaan, SM Imtiaz bukan setakat mampu terus beroperasi, malah memberikan sumbangan dari aspek pembangunan modal insan yang bukan sekat berjaya dalam bidang akademik, malah agama.
Bagaimanapun, beliau membayangkan jika pembiayaan itu masih belum mampu memastikan keseluruhan kos operasi berjalan dengan baik, ada kemungkinan ibu bapa diminta membuat penambahan dalam yuran bulanan.