MAIM bimbing mualaf jalani kehidupan baharu
AYER KEROH 3 Jun – “Terasa bertuahnya bergelar seorang mualaf kerana kami dibimbing sebaiknya,” itu kata pasangan pengantin baharu Muhammad Amin Lai.
Muhammad Amin, 31, dan pasangannya Farzana A. Gani, 25, antara tujuh pasangan mualaf yang menyertai Majlis Pernikahan dan Walimatulurus Mualaf Negeri Melaka Siri 1 Tahun 2024.
Selain majlis pernikahan, pasangan itu juga turut mengikuti Kursus Pasca Awal Perkahwinan Mualaf Negeri Melaka Siri I/2024 yang dianjurkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Menurut Muhammad Amin, selepas memeluk Islam tahun lalu kehidupan baharunya lebih terurus apabila pihak Balai Islam terutamanya banyak membantu.
“Sebagai saudara baru kami diberi bimbingan sebaiknya malah turut disediakan kelas agama untuk kami lebih mendalami agama Islam.
“Malah turut tidak disangka, MAIM turut menganjurkan majlis pernikahan buat kami begitu juga dengan kursus perkahwinan. Boleh katakan murah rezeki kami malah urusan juga dipermudahkan,” katanya.
Dia yang berasal dari Banda Hilir ditemui selepas mengikuti Kursus Pasca Awal Perkahwinan Mualaf Negeri Melaka Siri 1/2024 yang disempurnakan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis, hari ini.
Sementara itu, Farzana berkata, mereka pada awalnya tidak merancang untuk berkahwin dalam tempoh terdekat kerana banyak persiapan perlu dilakukan termasuk menyimpan duit.
“Memang tidak sangka urusan perkahwinan kami dipermudahkan, selepas dimaklumkan oleh Balai Islam kami hanya perlu menyediakan dokumen kerana segala persiapan lain diuruskan mereka.
“Malah kami turut disediakan kursus perkahwinan dan ini banyak membantu untuk pasangan pengantin menempuh kehidupan berumah tangga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.