Sorting by

×

MAIM bimbing asnaf keluar daripada garis kemiskinan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 20 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) komited akan meneruskan pelbagai inisiatif bagi memastikan golongan asnaf mampu mengubah nasib keluarga dan keluar daripada garis kemiskinan.

Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Insan MAIM, Zuraini Bibi Mohamed Yusoff berkata, selain menyediakan 29 skim, pihaknya turut memberi perhatian kepada aspek modal insan terutama dalam pembangunan institusi keluarga

Katanya, perkara itu perlu bergerak seiring bagi memastikan golongan tersebut arif mendirikan institusi keluarga yang harmoni, berpendidikan dan stabil.

“Selain 29 jenis skim bantuan yang disediakan untuk membantu golongan asnaf, program-program pemantapan akademik untuk anak-anak asnaf dan program-program keusahawanan turut giat kami jalankan secara berterusan dengan satu niat yang murni bagi membantu golongan asnaf keluar daripada garis kemiskinan selain berpeluang menikmati hidup seperti yang lain.

“Dalam aspek pembangunan institusi keluarga kami bersedia membantu keluarga asnaf di Melaka meningkatkan hubungan komunikasi antara ahli keluarga dan aspek pengurusan kewangan.

“Hal ini kerana berdasarkan hasil yang diterima sebelum ini kita melihat golongan asnaf kurangnya pengetahuan dalam aspek pengurusan kekeluargaan terutama dalam kewangan dan ini yang kita akan usahakan supaya mereka arif dan mampu mengendalikan kewangan keluarga dengan lebih bijak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Seminar Membina Keluarga Rahmah (MEKAR) MAIM 2024 diadakan di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam program terbabit seramai 58 buah keluarga asnaf Daerah Melaka Tengah telah dihimpunkan dalam sesi seminar diadakan bermula jam 9 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Zuraini berkata seminar yang diperkenalkan MAIM sejak 2010 kali ini telah dijenamakan semula kepada MEKAR dan akan terus direalisasikan pada tahun akan datang.

Katanya, seminar yang dianjurkan merupakan program tahunan MAIM kepada golongan asnaf banyak membantu mereka menyuntik kesedaran dan kefahaman bagi membina sebuah institusi keluarga bahagia.

“Alhamdulillah, program ini dilaksanakan mengikut pecahan daerah dan Melaka Tengah merupakan penganjurannya pada kali pertama tahun ini diikuti daerah Alor Gajah pada minggu depan dan Jasin pada Ogos.

“Kita menyasarkan sebanyak 75 buah keluarga dengan penyertaan empat individu mewakili sebuah keluarga akan dihimpunkan di setiap daerah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

322
Kongsi :
Previous post MEKAR suntik 58 keluarga asnaf Melaka Tengah
Next post Remaja lemas ketika mandi sungai bersama rakan di Puchong
Ubah saiz-+=