MAIM bentuk, bimbing anak asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 26 Mac – Kecemerlangan akademik dan hala tuju pelajar asnaf tingkatan lima antara fokus menjadi keutamaan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, sepanjang tahun ini pihaknya mengatur beberapa program dalam mempersiapkan pelajar asnaf tingkatan lima menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mohd Hairulamin berkata, mengikut kebiasaan pihaknya mengatur tiga hingga empat program pemantapan untuk calon SPM MAIM merangkumi persediaan sebelum menduduki peperiksaan dan bimbingan hala tuju selepas mereka memperoleh keputusan.

“Antara yang dilaksanakan adalah program sahsiah diri, teknik meningkatkan tahap akademik, teknik menjawab soalan dan kem kecemerlangan akademik selain program hala tuju.

“Program hala tuju ini bagi saya penting untuk memberi gambaran dan membimbing anak-anak MAIM mengenai perjalanan selepas tamat SPM, sama ada menyambung pengajian ke universiti atau mengikuti kursus kemahiran di institusi bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Program Ramadan Maidatur Rahman – Barakah Ramadan Bersama Pelajar Asnaf Tingkatan Lima, di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini, semalam.

Menurutnya, pendekatan mengumpul dan meraikan kesemua pelajar asnaf tingkatan lima dalam majlis berbuka puasa bertujuan membina hubungan baik dalam kalangan mereka.

“Majlis ini adalah program pertama ia bagi membina hubungan dan menjalinkan keyakinan kepada pelajar ini bahawa MAIM mempunyai satu program yang begitu baik untuk mereka hasil daripada kutipan zakat yang berjaya dikumpul.

“Menerusi program sebegini ia secara tidak langsung dapat membina satu jaringan agar selepas ini mereka boleh berhubung dan mengadakan perbincangan serta belajar secara berkumpulan,” katanya.

MOHD Hairulamin menyampaikan sumbangan duit dan kuih raya kepada pelajar asnaf tingkatan lima.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

277
Kongsi :
Previous post Orang Jasin tidak tercicir terima sumbangan Ramadan
Next post Kongsi nikmat Ramadan bersama pelajar asnaf
Ubah saiz-+=