Sorting by

×

MAIM BANTU PEMBUAT ROTI JADI USAHAWAN BERJAYA

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

MASJID TANAH 29 Ogos – Wanita berjiwa kental ini tidak pernah kenal erti putus asa. Walaupun hanya memulakan perniagaan roti kopinya secara kecil-kecilan, namun dia membuktikan semangat ingin berjaya mengatasi segala-galanya.

Menurut Siti Hazura Abd Rahman, 51, ketika awal pembabitannya, dia hanya menjual kira-kira 30 biji roti sehari, namun kini perniagaannya semakin mendapat sambutan sehingga mampu menghasilkan 300 biji pastri sehari untuk dihantar ke beberapa premis perniagaan termasuk sekolah.

Wanita itu membuktikan berkat usaha kerasnya selama lapan tahun dalam perniagaan pastri berjaya mengubah nasibnya dan keluarga.

“Sebelum terbabit dalam pembuatan roti dan pastri saya berniaga kuih talam tetapi minat ini bertukar kerana anak-anak gemar makan roti.

“Daripada situ saya mula membuat roti dan pada peringkat awal saya hanya hantar ke sekolah sahaja sebelum menghantar ke beberapa premis lain.

“Untuk sampai ke hari ini ianya tidak mudah, apa yang penting jangan mudah mengalah dan terus bangkit,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di bengkel pastrinya di Kampung Seri Terubuk, di sini.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia bersyukur apabila beberapa agensi termasuk Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Pertanian tampil menghulurkan bantuan untuk mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan itu.

“Terima kasih khususnya kepada MAIM kerana menyumbang mesin pembuat pastri. Mesin ini saya amat diperlukan untuk membuat roti ‘croissant’ tetapi ada kekangan kerana harganya mencecah RM11,000.

“Saya cuba membuat permohonan dengan MAIM pada tahun lepas dan tidak sangka dalam tempoh dua bulan permohonan itu diluluskan.

“Dengan adanya mesin ini ia bukan sahaja memudahkan tetapi meningkatkan bilangan pastri yang dihasilkan, contohnya sebelum ini adunan hanya sekilogran gandum tetapi selepas ada mesin ini saya boleh siapkan sehingga lapan kilogram adunan,” katanya.

Whatsapp Image 2024 08 28 At 16.35.16 (1)
ROTI kopi dan croissant yang dihasilkan Siti Hazura

Siti Hazura berkata, setiap hari dia akan mula membuat roti dan pastri seawal jam 3 pagi bagi memastikan tempahan dapat dihantar kepada pelanggan.

“Selain menghantar ke beberapa sekolah dan premis sekitar Melaka, saya juga ada menerima tempahan serta menghantar roti dan pastri ke Kuala Lumpur.

“Syukur yang teramat dengan nikmat rezeki yang dikurniakan ini, Alhamdulillah dengan inilah saya dapat membesarkan anak-anak.

“Insya-Allah, sekiranya diizinkan saya iimpikan untuk menghasilkan produk baharu iaitu doh pastri sejuk beku, ini adalah rancangan jangka panjang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

269
Kongsi :
Previous post 14 JALAN, PERSIMPANGAN DITUTUP SEMPENA SAMBUTAN MERDEKA MELAKA
Next post JERAMI DESA GAMIT PELANCONG KE PENGKALAN BATU
Ubah saiz-+=