MAIM AGIH SUMBANGAN PERSEKOLAHAN KEPADA 8,800 ANAK ASNAF
BUKIT KATIL 14 Disember – Seramai 8,800 anak asnaf memperoleh manfaat hasil inisiatif Program Jom Ke Sekolah Bagi Anak-Anak Asnaf Fakir, Miskin dan Mualaf Majlis Agama Islam Negeri Melaka (MAIM) Sesi 2025M/1446H.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata mengikut pecahan sumbangan itu diagihkan kepada 8,120 orang anak asnaf miskin, anak asnaf fakir (350) dan asnaf mualaf (370).
Mengulas lanjut Rahmad berkata, secara keseluruhan MAIM membelanjakan sebanyak RM3,080,000 untuk menjayakan inisiatif itu menggunakan wang kutipan zakat bagi Negeri Melaka.
“Alhamdulillah tahun ini jumlah sumbangan ditambah kepada RM350 berbanding RM300 tahun sebelumnya. Ini adalah hasil peningkatan jumlah kutipan zakat Negeri Melaka sebanyak RM135 juta atau naik RM6.7 juta berbanding tahun lalu.
“Inisiatif dilaksanakan MAIM bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan untuk anak-anak menjelang sesi persekolahan akan datang.
“Kita faham beban ditanggung ibu bapa khusus mereka mempunyai anak yang ramai, bukan sahaja kelengkapan persekolahan tetapi perlu juga sediakan bayaran yuran dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada majlis itu berlangsung di Dewan Datuk Demang Hussin, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad dan Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad, Zohaime Muhamad Sori.
Rahmad berkata, MAIM juga meningkatkan jumlah penerima derma siswa sekolah menengah daripada 10 kepada 20 orang pada tahun ini.
“Pelaksanaan inisiatif ini membuktikan bahawa MAIM serius dalam aspek kecemerlangan akademik anak-anak asnaf. Cemerlang dalam pelajaran boleh membantu asnaf keluar dari kepomong kepayahan dan kesukaran.
“Kepada ibu bapa, tanamkan tekad dalam jiwa anak masing-masing untuk mencapai kecemerlangan. Kita mahu lahirkan generasi yang boleh berbakti kepada keluarga dan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.