Mahu beli ikan dan daging antara alasan popular
AYER KEROH 20 Jan. – Mahu membeli ikan dan daging menjadi antara alasan yang kerap diberikan segelintir rakyat di negeri ini dalam cubaan untuk merentas daerah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, alasan itu antara yang kerap diberikan pengguna jalan raya berumur dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini.
Bagaimanapun, tegas beliau, alasan seperti itu sama sekali tidak akan diterima dan kenderaan terbabit telah diarah berpatah balik.
“Sebanyak 30,332 kenderaan telah diperiksa di semua SJR di negeri ini (semalam) dan daripada jumlah itu 21 diarah berpatah balik di atas pelbagai alasan, namun yang paling ketara ialah untuk membeli makanan keperluan asas seperti ikan dan daging.
“Bagaimanapun, kita tidak akan menerima alasan itu kerana mendapati barangan keperluan itu masih boleh dibeli di dalam radius kawasan perumahan masing-masing,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyampaian sumbangan kit makanan di SJR Plaza Tol Ayer Keroh, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, dalam tempoh pihaknya mengeluarkan 52 kompaun atas pelbagai kesalahan, antaranya tidak memakai pelitup muka serta premis yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) melalui pemantauan yang dijalankan oleh 77 pasukan pemantau.
Begitupun, beliau menganggap aspek pematuhan rakyat di negeri ini berada di tahap yang baik dan memuaskan sepanjang hampir seminggu PKP 2.0 dilaksanakan.
“Daripada penilaian, kita mendapati tahap pematuhan di Melaka ialah sekitar 97.5 peratus. Bagi saya, ini sesuatu yang sangat baik dan cukup memuaskan,” katanya.