Mahrajan Kesenian Islam lahir generasi mukmin profesional
BANDARAYA MELAKA 7 April. – Kolej Profesional MARA Bandar Melaka (KPMBM) mempergiatkan usaha bagi melahirkan generasi mukmin profesional berteraskan al-Quran.
Pengarah KPMBM Mini Zanita Zakaria berkata, ia dilaksanakan melalui penganjuran Program Mahrajan Kesenian Islam antara Institusi Pendidikan MARA (IPMA) 2021.
Katanya, program itu sekali gus dapat menjana intelektual muslim yang bakal memimpin negara pada masa hadapan selaras dengan tuntutan al-Quran.
“Program ini diharap dapat membentuk muslim yang sentiasa bersedia dengan persiapan rohani dan jasmani bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan.
“Ini termasuklah bagi menghayati isi-isi pengajaran al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan,” katanya pada program tersebut yang diadakan secara atas talian bermula 14 Mac hingga 2 April lalu.
Program itu dirasmikan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Nasrudin Hassan.
Program itu turut mendapat kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Buruj Watches Sdn. Bhd dengan dua kategori dipertandingkan iaitu kategori KPMBM dan kategori Terbuka IPMA.
Bagi kategori KPMBM, sebanyak tiga pertandingan diadakan seperti Pertandingan Kesenian Islam Tulisan Khat, Pertandingan Melukis Komik dakwah Pendek dan Pertandingan Azan.
Manakala, kategori terbuka IPMA pula terdapat empat pertandingan iaitu Pertandingan Nasyid, Pertandingan Tazkirah Pendek, Pertandingan Tiktok Islamik dan Pertandingan Khutbah Jumaat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.