Sorting by

×

Mahligai tersembunyi dalam ceruk kampung

Masa Membaca:3 Minit, 31 Saat

LENDU – Lokasinya yang agak tersorok dan jauh dari jalan utama menyebabkan ramai tidak menyedari kewujudan Villa Bonda yang dianggap sebagai permata tersembunyi di Kampung Solok Air Batu, Masjid Tanah.

Tersergam indah umpama istana zaman Kesultanan Melayu Melaka, Villa Bonda sebenarnya sebuah bangunan yang dibina hasil gabungan pelbagai falsafah, adat dan budaya orang Melayu.

Berhabis jutaan ringgit dianggap berbaloi bagi pemilik bangunan ini yang mahu memartabatkan seni bina tradisional sentuhan Melayu klasik, sekali gus memulihara warisan nenek moyang.

Pengurus Projek Villa Bonda, Mohd Norsyahid Md Yusof, 39, berkata, bangunan itu mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan.

Mohd Norsyahid berkata, setiap inci bangunan itu seperti jenis kayu, corak dan ukiran mesti diambil kira sebelum pembinaan dijalankan.

Jelasnya bumbung bangunan itu pula diilhamkan daripada rekaan beberapa masjid di Negeri Melaka yang terselit aspek menggambarkan kehidupan, agama dan peradaban bangsa.

villa bonda 6
MENGEKALKAN ciri-ciri tradisional dan sentuhan Melayu klasik. Foto Iqmal Haqim Rosman

FALSAFAH SENI BINA MELAYU

Dia mengambil masa selama enam bulan untuk mengkaji dan merangka sebelum pembinaan dimulakan dan berasa amat bangga selepas bangunan itu kini siap sepenuhnya.

Katanya, ternyata setiap inci rumah yang dibina orang Melayu zaman dahulu kala mempunyai maksud selain pantang larang tersendiri.

“Seperti bendul yang terletak di lantai muka pintu rumah, ia perlu dilangkah dan tidak boleh dipijak. Jika dipijak ia membawa maksud hilangnya rasa hormat tetamu yang datang kerana ia umpama memijak kepala tuan rumah.

“Dalam unsur rumah melayu, ada beberapa pembahagian bermula dari tangga hinggalah ke dapur. Jika ada tetamu atau orang luar datang, tuan rumah akan bawa menaiki anjung dahulu.

“Sekiranya ada perbincangan, tetamu akan dibawa ke serambi, berbeza pula dengan orang yang dikenali terutama saudara-mara di mana mereka akan di bawa ke ‘rumah ibu’ yang menjadi ruang tamu dalam rumah Melayu,” katanya.

Menurutnya, Villa Bonda dibina dengan menggunakan 99 batang tiang, sekali gus menggambarkan simbolik kepada 99 nama Allah yang melambangkan keteguhan kepada Yang Maha Esa.

Malah, setiap ukiran bermotifkan flora dan fauna yang mengambil untuk disiapkan diimport dari Jepara, Indonesia menambahkan lagi sentuhan Nusantara.

villa bonda 4.1
BUMBUNG yang mendapat inspirasi daripada masjid lama di Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

BUMBUNG INSPIRASI MASJID

Mohd Norsyahid bersama majikannya, Syakib Samsudin, 41, berpendirian bumbung rumah merupakan ‘mahkota utama’ bagi memastikan keteguhan dan kekuatan bangunan sentiasa dilindungi.

Inspirasi bumbung Masjid Lama Pekan Masjid Tanah, menjadi antara rujukan mereka sehinggakan struktur pucuk bumbung masjid itu yang dinamakan ‘Mahkota Seri’ menjadi ilham mereka dan dibina di rumah berkenaan.

“Selain itu kita merujuk beberapa masjid lama di Melaka seperti di Masjid Tengkera dan Masjid Kampung Hulu untuk membina ukiran dinamakan ‘Sulur Bayung’ dan diletakkan disetiap hujung bumbung rumah menggunakan struktur batu dan dicat warna putih persis sentuhan masjid lama.

“Cabaran membina bumbung ini amat besar berikutan hari ini tiada lagi pewaris yang mewarisi ilmu pertukangan masjid lama di Melaka, akhirnya kami menemui seorang warga emas yang sudi membina struktur tersebut berikutan mempunyai pengalaman membina bumbung masjid di waktu usia mudanya.

“Tukang ini kita bawa dari Bukit Piatu dan kita ambil masa yang lama sebab kesukarannya sehinggakan banyak kali dipinda diatas faktor saiz dan berat mahkota itu,” katanya.

villa bonda 2
MOHD Norsyahid menunjukkan rekaan dalaman Villa Bonda. Foto Iqmal Haqim Rosman

TARIKAN PELANCONGAN

Villa Bonda yang kini hampir 95 peratus siap akan dibuka tidak lama lagi dan dijangka menjadi antara lokasi pelancongan berteraskan pendidikan dan budaya di Masjid Tanah.

Bangunan rumah Melayu yang dilengkapi dengan lima bilik dan keperluan riadah seperti kolam renang, balai mesyuarat, ruangan karaoke serta pelbagai lagi.

Kemudahan itu bersesuaian dijadikan sebagai lokasi program korporat, mesyuarat, persidangan dan pameran lebih lagi menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan datang.

“Kita akan membuka kawasan ini kepada sesiapa saja yang mahu merasai pengalaman di villa ini, malah kita juga membukanya kepada mana-mana tukang yang mahu mengambil ilmu pembuatan rumah Melayu agar warisan itu dapat dikekalkan.

“Saya sedih dan risau apabila melihat ramai yang melupakan warisan ini. Jadi inilah permulaan untuk kita kembali sedar bahawa setiap peradaban anak Melayu terdahulu yang digunakan dalam kehidupan seharian mempunyai falsafah dan adab. Semua ini membuktikan kita sebenarnya bangsa yang bijak dan maju,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

12673
Kongsi :
Previous post 450 peserta berentap di Melaka Culinary Challenge 2023
Next post Penduduk kampung buat saringan kanser percuma
Ubah saiz-+=