MAHLIGAI BAHARU BUAT NORIDAH

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

PANTAI KUNDOR 30 Oktober – Kerisauan wanita ini rumahnya bakal roboh akibat dimakan anai-anai akhirnya berganti kegembiraan selepas dimaklumkan dia akan menerima bantuan pembinaan kediaman baharu yang lebih selesa daripada Kerajaan Negeri

Kedaifan hidup Noridah Mat Diah, 63, mendapat perhatian Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @Mohd Hashim yang melawat kediamannya di Kampung Pantai Puteri, di sini, semalam.

Warga emas ini memberitahu, selain papan dan kayu reput akibat dimakan anai-anai, kehadiran monyet liar menyebabkan kerosakan kediamannya itu menjadi semakin serius.

“Pernah berlaku bumbung rumah roboh akibat perbuatan sekumpulan monyet liar. Ada monyet yang dilihat mengumpil bahagian bumbung, akibatnya bahagian dalam rumah dimasuki air setiap kali hujan.

“Jadi saya terpaksa tadah air menggunakan baldi bagi mengelakkan dalam rumah daripada ‘banjir’. Paling mencemaskan saya adalah apabila berlaku tiupan angin kencang atau ribut, risau bumbung rumah tercabut,” katanya.

Whatsapp Image 2024 10 29 At 3.44.10 Pm
RAIS bersama Tuminah ketika menyantuni Noridah.

Wajah suram wanita ini berganti kegembiraan apabila dimaklumkan sendiri oleh Rais dan Tuminah dia akan menerima bantuan untuk mendapatkan kediaman baharu.

“Saya kelu tidak tahu apa yang mahu dikatakan, amat gembira dan bersyukur, pada mulanya saya menyangka hanya menerima bantuan baik pulih bumbung sahaja, namun rezeki Allah saya akan dapat rumah baharu,” katanya.

Noridah yang juga penghidap masalah buah pinggang berkata, sebelum ini dia bersama arwah suami iaitu seorang pesara tentera pernah memohon bantuan daripada agensi berkaitan namun kecewa selepas dimaklumkan tidak ada peruntukan.

“Memang kami berdua menerima pencen, namun perlu mengutamakan wang yang ada untuk membiayai kos rawatan penyakit dihidapi, sekali gus membantutkan perancangan untuk membaiki rumah.

“Apabila permohonan tidak berjaya, mahu atau tidak saya terpaksa tangguh hasrat untuk baiki bumbung yang rosak. Alhamdulillah atas keprihatinan Japerun Pantai Kundor dan Kerajaan Negeri masalah ini bukan sahaja dapat diselesaikan malah diberi peruntukan untuk bina baharu,” katanya.

Sementara itu, Rais berkata, Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM), akan membina sebuah rumah baharu bagi menggantikan kediaman Noridah yang sudah uzur dengan peruntukan kos sebanyak RM70,000.

“Kita amat berharap LPM akan dapat menguruskan pembinaan rumah baharu dalam kadar segera ia bagi keselesaan keluarga berkenaan dan pembinaan ini dijangka mengambil masa sebulan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

65
Kongsi :
Previous post ANJUR PROGRAM SEMPENA HARI INOVASI DISEMBER INI
Next post ‘KOLAM’ SERIKAN BANGUNAN MBMB SEMPENA DEEPAVALI
Ubah saiz-+=