
Mahkamah Rayuan benar permohonan Najib tangguh pelaksanaan hukuman
PUTRAJAYA 8 Dis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih bebas dengan jaminan RM2 juta selepas Mahkamah Rayuan di sini membenarkan permohonan peguam belanya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
Mahkamah membenarkan permohonan bagi penangguhan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Memetik Utusan Online, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan permohonan tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.
Mahkamah turut mengekalkan syarat-syarat yang dikenakan terhadap Najib sebagaimana yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi iaitu pasport perlu diserahkan ke mahkamah dan perlu lapor diri ke balai polis berdekatan dua kali sebulan.
Terdahulu, mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana melakukan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Has Zanah dan Vazeer Alam menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.