Sorting by

×

Mahkamah perintah tiga beradik dalam jagaan JKM diserahkan segera kepada ibu

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan tiga adik-beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Mac 2021, pemohon telah diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya.

“Terdapat juga perintah ex-parte interim bertarikh 20 Dis 2019, memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal anak-anaknya kepada pemohon.

“Perintah mahkamah masih kekal dan masih sah. Perintah mahkamah tidak boleh dilayan dengan sewenang-wenangnya dalam berhadapan penghinaan mahkamah. Oleh sebab perintah mahkamah masih kekal, saya membenarkan permohonan writ habeas corpus,” kata hakim itu.

Dalam notis usulnya yang difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Feb, Loh menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak yang tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.

Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden, dan dikembalikan kepadanya.

Loh, 34, kelihatan menangis ketika hakim menyampaikan penghakiman.

Anak Loh, kembar perempuan berumur 14 dan seorang lelaki berumur 10 tahun, ditempatkan di bilik saksi semasa prosiding itu.

Beliau memfailkan permohonan habeas corpus atas alasan walaupun Mahkamah Tinggi telah memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ketiga-tiga anaknya itu kepadanya, beliau tidak dapat bertemu mereka kerana bekas suaminya M. Nagahswaran telah menyembunyikan mereka.

Loh mendakwa mendapat tahu anak-anaknya berada dalam kawalan responden pertama (Nazirah dipercayai pendakwah) di Yayasan Hidayah Centre di Bayan Lepas, Pulau Pinang, namun dia (Nazirah) tidak membenarkannya pemohon bertemu dan menjemput anak-anaknya.

Beliau mendakwa anak-anaknya kemudian dipindahkan ke Perlis dan menempatkan mereka di bawah kawalan dua responden.

“Tindakan responden menjaga kanak-kanak tanpa kebenaran pemohon merupakan penahanan yang menyalahi undang-undang atau penahanan yang tidak wajar dalam penjagaan peribadi dan ini memerlukan campur tangan mahkamah kerana pemohon tidak mengetahui lokasi khusus anak-anaknya.

“Pemohon mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa terdapat niat dan usaha responden untuk mengislamkan anak-anaknya dan membawa mereka di luar bidang kuasa mahkamah ini,” katanya.

Terdahulu, peguam A. Srimurugan yang mewakili Loh, berhujah tiga beradik itu sepatutnya dikembalikan kepada ibu kandung mereka kerana ibunya telah mendapat hak penjagaan, perlindungan dan kawalan ke atas anak-anaknya dan tindakan responden mengawal mereka dianggap sangat tidak menghormati perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.

“Persoalan yang dibangkitkan hari ini tidak melibatkan isu agama atau konflik yang melibatkan undang-undang Syariah, sebaliknya ia berkaitan dengan pematuhan perintah mahkamah sebelum ini,” katanya sambil menambah bekas suami Loh ditahan di sebuah penjara di Kelantan.

Sementara itu, peguam Aidil Khalid yang mewakili Nazirah berhujah bahawa isu penukaran agama secara unilateral jelas tidak relevan.

“Anak guam saya (Nazirah) tidak sepatutnya dinamakan sebagai pihak dalam permohonan habeas corpus itu kerana ketiga-tiga adik-beradik itu kini tidak berada di bawah jagaannya,” katanya.

Kanak-kanak itu ditempatkan di institusi kebajikan atas permintaan Loh selepas mendapat perintah mahkamah demi kepentingan dan kebajikan kanak-kanak itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

948
Kongsi :
Previous post Kadar penggunaan katil ICU di 11 negeri bawah 50 peratus – Dr Noor Hisham
Next post Pendaftaran PICKids lepas angka sejuta – Khairy
Ubah saiz-+=