Sorting by

×

Mahasiswa cerewet pilih calon

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TABOH NANING 14 November – Bukan sekadar bersandarkan populariti, sebaliknya mahasiswa khusus yang pertama kali mengundi lebih cerewet termasuk mengambil kira pencapaian parti politik untuk memilih siapa bakal diberi mandat bagi mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Sebahagian besar daripada mahasiswa yang ditemui cenderung untuk memilih kerajaan yang stabil dan terbukti mampu mentadbir negara.

Riezman Rosli, 23, berkata, ketika ini jumlah pelajar menamatkan pengajian setiap tahun amat tinggi, berikutan itu berlaku persaingan antara graduan untuk mendapatkan tempat dalam pasaran pekerjaan.

“Kerajaan stabil ekonomi juga akan kukuh, jadi pasti akan ada lebih banyak peluang pekerjaan untuk graduan baru menamatkan pengajian.

“Selain itu mahasiswa berharap kerajaan perkasakan lagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan selain program keusahawanan untuk menggalakkan lepasan universiti bekerja sendiri, bersama-sama menyumbang kepada ekonomi negara.

“Ketika ini saya juga berharap kerajaan menyediakan lebih banyak kemudahan seperti kolej penginapan dan bantuan contoh pengurangan bayaran yuran pengajian,” katanya ketika ditemui pada perjumpaan bersama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid, di sini, semalam.

Sementara itu Ahmad Adama Azahari, 23, berharap pengundi muda tidak mensia-sia peluang sebagai pemilih pada Sabtu ini kerana ia adalah satu tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Katanya, ada dalam kalangan pengundi muda yang merasakan proses demokrasi itu tidak menguntungkan mereka dan membuang masa.

“Rugi jika tidak ambil peluang yang datang lima tahun sekali sahaja, Jadi nasihat saya tunaikan tanggungjawab anda Sabtu ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1650
Kongsi :
Previous post ‘Hadiah’ terakhir pemandu lori
Next post Pengundi positif Covid-19 wajib pakai pelitup muka, dilarang naik kenderaan awam
Ubah saiz-+=