Magical Melaka Food & Fruit Fest 2022 tarik perhatian pelancong
BANDA HILIR 6 Ogos – Penganjuran Magical Melaka Food & Fruit Fest 2022, meningkatkan jumlah kedatangan pelancong domestik ke negeri ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara J.P berkata, penganjuran program festival itu antara usaha Tourism Malaysia bagi menarik serta meningkatkan kedatangan pelancong ke Melaka.
“Program ini diharap dapat merancakkan semula aktiviti pelancongan domestik dan memberi peluang kepada pengunjung yang datang bercuti ke Melaka untuk menyaksikan Magic of The Night.
“Selain menarik kedatangan pelancong domestik ke Melaka ia menjadi medan memasarkan produk makanan dan buah-buahan tempatan seperti durian yang menjadi fokus pada penganjuan kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Magical Melaka Food & Fruit Fest 2022 di Jalan Kota, di sini, hari ini.
Hadir sama pada program itu Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Menurutnya, pada festival itu sebanyak 12 jenis makanan dan minuman dijual seperti cendol, kuih keria serta ‘coconut shake’.
Sementara itu, Muhamad Jailani berkata, replika gergasi durian dipamerkan di hadapan Galeri Warisan Kota Melaka yang menerima pengiktirafan ‘Malaysia Book of Records’ sebagai replika terbesar di Malaysia.
Jelasnya, replika itu tidak mengganggu kawasan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Replika itu tidak membabitkan pembinaan kekal, sekali gus tidak menjejaskan kawasan UNESCO kerana sebelum semua faktor sudah diambil kita sebelum keputusan dibuat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.