MAFI sumbang 13.2 tan produk hasilan haiwan tahun ini
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata antara agensi terlibat adalah Jabatan Penjara dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang melibatkan bekalan makanan haiwan seperti ayam dan daging sejuk beku serta pelbagai produk hasilan haiwan yang lain.
“Hari ini kita serahkan enam tan hasilan haiwan yang dianggarkan berjumlah RM60,000 kepada Jabatan Penjara Pengkalan Chepa dan Machang di Kelantan, Jabatan Penjara Marang (Terengganu) dan Penjara Penor Kuantan (Pahang) serta Pusat Pemulihan Akhlak di Machang (Kelantan).
“Serahan ini bertujuan memenuhi keperluan bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan ternakan ikan keli di bawah Program Rehabilitasi banduan di Jabatan Penjara Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di Jabatan Penjara Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Dr Azhari Sharidan Abu Bakar serta Pengarah Maqis Kelantan Muhammad Nazrul Hizam Ab Manaf.
Mengulas lanjut, Dr Nik Muhammad Zawawi berkata kesemua hasilan haiwan yang diserahkan itu telah dilucutkan hak kerana tidak mematuhi aspek perundangan seperti yang tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“MAFI kini giat membantu jabatan dan agensi yang memerlukan, selain memastikan industri pertanian negara terkawal daripada sebarang penyakit dan perosak merbahaya melalui penguatkuasaan MAQIS di setiap pintu masuk negara.
Katanya, MAQIS) akan terus komited dan tegas melakukan penguatkuasaan serta tidak akan berkompromi terhadap setiap pengimportan keluaran pertanian khususnya dagangan yang melibatkan aspek halal ayam dan daging di negara ini. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.