MAFI jalin kerjasama dengan TUDM dan MetMalaysia bagi operasi pembenihan awan
Timbalan Menteri MAFI 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata operasi berkenaan tertumpu kepada dua Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) seluas lebih 20,000 hektar.
“Operasi ini dijalankan di IADA di daerah Kerian melibatkan 19,000 hektar, manakala kawasan IADA di Pulau Pinang melibatkan 1,267 hektar,” katanya dalam sidang media OPA di Pengkalan TUDM di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata operasi kali ini bertujuan bukan sahaja untuk menambah baik bekalan air malah memulihkan kembali sistem pengairan bagi kegunaan domestik, pengairan pesawah dan industri.
Katanya lagi, operasi ini akan memberi manfaat kepada lebih 10,000 pesawah.
“Kita yakin operasi ini akan memberi manfaat kepada secara langsung melibatkan 8,869 pesawah di kawasan Kerian dan 1,267 pesawah dari kawasan IADA Pulau Pinang,” katanya.
Ditanya mekanisme yang digunakan untuk operasi kali ini, Timbalan Ketua Pengarah Operasi MetMalaysia Lim Ze Hui berkata OPA menggunakan empat tangki yang mengandungi campuran air garam yang mengandungi 800 kilogram garam dan 4,800 liter air, diterbangkan menggunakan Pesawat Charlie 130 Hercules.
“Untuk setiap semburan dalam awan yang bersesuaian itu mengambil masa dalam 30 minit untuk hujan dan mengikut analisis kami, keadaan cuaca baik dan kita ada peluang tinggi untuk operasi pada hari ini,” katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata paras air di Empangan Bukit Merah telah mencapai tahap yang kritikal pada 27 Mei yang lalu dan telah mengakibatkan gangguan bekalan air di kawasan tersebut.
“Paras air di empangan tersebut berada di tahap 27 kaki (8.25 meter) kurang 1.5 kaki (0.45 meter) dari paras biasa iaitu 28.5 kaki (8.70 meter) serta empangan tersebut berada di tahap satu. Lebih malang lagi, di empangan tersebut tidak mempunyai mata air yang menyebabkan empangan tersebut bergantung kepada hujan,” katanya.
Operasi ini telah dilaksanakan dengan kekuatan 11 anggota TUDM bersama tiga kakitangan MetMalaysia.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.