Sorting by

×

MAFA mahu hidupkan kembali bola sepak Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 17 Disember – Memberi nafas baharu kepada sukan bola sepak menjadi antara misi utama kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA).

Timbalan Presidennya,  Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata misi itu sangat penting memandangkan bola sepak merupakan sukan nombor satu rakyat termasuk di Negeri Melaka sendiri.

Katanya, selepas berdepan era kegelapan sebelum ini, menjadi tanggungjawab besar untuk kepimpinan 2023-2026 ini membuktikan pembaharuan boleh dilakukan.

“Jadi kita akan berusaha mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak ini dan jika ada berita baik untuk peminat bola sepak kita akan umumkan.

“Pengalaman lalu membuatkan kita lebih berhati-hati dalam memilih penaja dan akan memastikan segala perjanjian diteliti dengan lebih baik agar masalah sama tidak berulang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres MAFA Ke-67 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Img 4185
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA), Datuk Mohd Saiful Mat Sapri mengadakan sidang akhbar selepas Kongres Tahunan MAFA Kali Ke-67 Tahun 2023 di Hotel Hatten, Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

Menurut Mohd Saiful, pihaknya masih lagi menunggu perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai syarat dan kriteria bagi membolehkan Melaka kembali ke kancah Liga Super.

Selain itu, kata beliau, perbincangan juga akan dilakukan dengan satu lagi pasukan bola sepak yang membawa nama Melaka iaitu Melaka FC yang beraksi di Liga M3.

Jelasnya, perbincangan itu menjurus sama ada kedua-dua pasukan akan bergabung atau sebaliknya.

“Semua perbincangan ini kita akan cuba percepatkan sebelum semuanya diputuskan pada Mesyuarat Exco MAFA yang akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya sama ada nama Melaka United akan dikekalkan atau tidak, beliau berkata, perkara itu juga akan diputuskan pada mesyuarat akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3716
Kongsi :
Previous post TMM2024: Bulan pelancongan sukan ketengah sukan tradisional
Next post Suspek kes langgar pelajar didakwa esok di bawah Seksyen 302 KK – AGC
Ubah saiz-+=