Macau Scam: Gagal bayar denda, seorang wanita dan dua lelaki dipenjara
SEREMBAN 16 Julai – Seorang wanita dan dua lelaki didenda antara RM16,000 dan RM34,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan wang berkaitan sindiket Macau Scam.
Majistret Norzaliza Tesmin menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulaikha Roslan, 22, Muhammad Anas Mohd Amir Nasharuddin, 21, dan Muhammad Syafirul Haidezeman, 31.
Zulaikha didenda RM16,000 bagi dua pertuduhan, Muhammad Anas didenda berjumlah RM34,000 atas empat pertuduhan dan Muhammad Syafirul yang menghadapi tiga pertuduhan didenda RM24,000 bagi semua kesalahan.
Jika gagal membayar denda, Zulaikha diperintahkan menjalani hukuman penjara 20 bulan manakala Muhammad Syafirul 32 bulan dan Muhammad Anas 44 bulan.
Kesemua mereka gagal membayar denda dan masing-masing dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman.
Wanita itu didakwa menyembunyikan wang yang bukan miliknya masing-masing RM30,000 menerusi dua transaksi yang dimasukkan oleh Mohammad Roslan Abd Manap ke dalam akaun bank didaftarkan atas nama tertuduh di sebuah bank di Nilai, di sini pada 7 dan 8 Julai lalu.
Muhammad Anas dituduh atas kesalahan sama melibatkan wang masing-masing RM30,000, RM50,000, RM9,500 dan RM40,500 yang dimasukkan oleh Mohammad Roslan ke dalam akaun peribadinya manakala Muhammad Syafirul didakwa menyembunyikan wang RM20,000, RM50,000 dan RM10,000 yang dimasukkan oleh individu sama ke dalam akaun miliknya di tempat serupa antara 7 dan 9 Julai lepas.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Sharifah Nur Amirah Syed Ahmad Yunus.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.