Macam-macam ada di Car Free Zone @Alor Gajah

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

ALOR GAJAH 19 Julai – Penganjuran Hari Tanpa Kenderaan atau Car Free Zone @Alor Gajah pada Sabtu pertama setiap bulan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Berlangsung di Jalan Datuk Naning (hadapan Dataran Keris) bersempena Melaka Bila Larut Malam, ia menjadi salah satu inisiatif Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menganjurkan program Santai Malam Minggu bagi memeriahkan suasana di Bandar Alor Gajah.

Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, sejak dilaksanakan, program tersebut merekodkan purata sehingga 1,000 pengunjung.

Jelasnya, menerusi program tersebut, orang ramai dapat bersantai dan beriadah bersama keluarga selain mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti serta tarikan yang disediakan.

“Antara aktiviti yang diadakan adalah seperti permainan rakyat, berbasikal, kasut roda, papan selaju, kereta kawalan jauh dan pelbagai lagi.

“Selain itu turut diadakan pameran agensi seperti kesedaran cegah denggi dan jenayah,” katanya.

Whatsapp Image 2024 07 18 At 4.43.12 Pm
SUASANA sekitar sambutan Car Free Zone @Alor Gajah. Foto Kredit: MPAG

Menurut TPr. Saifuddin, selain merancakkan aktiviti di Bandar Alor Gajah, program itu juga bertujuan mengurangkan pelepasan karbon emisi terhasil daripada kenderaan, sekali gus membantu mengurangkan impak kepada alam sekitar akibat pemanasan global.

“Menerusi program Car Free Zone @Alor Gajah ini ia dapat mengurangkan 0.374 tan karbon dioksida setara (CO2e) bagi tempoh empat jam penganjurannya. Ia juga bersamaan dengan 4.488 tan CO2e setahun,” katanya.

Car Free Zone @Alor Gajah diadakan pada setiap Sabtu pertama setiap bulan bermula jam 8 malam hingga 2 pagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2702
Kongsi :
Previous post Kru kapal warga India terjatuh di perairan Melaka
Next post Konservasi orang utan di Zoo Melaka
Ubah saiz-+=