Maahad Tahfiz Bistari Pulau Besar bakal beroperasi semula

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TELOK MAS, 4 Oktober – Maahad Tahfiz Bistari di Pulau Besar akan dibuka semula dalam masa terdekat kata Mufti Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Katanya, setakat ini kerja menambah baik kemudahan sedia ada sedang dijalankan sebelum menerima pendaftaran kemasukan pelajar baharu dijangka bagi sesi 2023.

Menurutnya, urusan pengambilan pelajar dan kakitangan bagi maahad tahfiz berstatus swasta itu akan diletakkan sepenuhnya dibawah pengurusan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Kerajaan Negeri menerusi MAIM bersetuju untuk membuka semula maahad tahfiz ini yang dibina diatas tapak diwakafkan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

“Insya-Allah dalam tempoh terdekat mungkin bagi sesi pembelajaran pada 2023 akan ada pengambilan 30 pelajar baharu. Kalau diikutkan daripada sudut logistik, kelas, surau dan dewan makan semua sudah ada.

“Kewujudan maahad tahfiz ini akan menghidupkan nilai-nilai kerohanian memandangkan Pulau Besar adalah lokasi persinggahan pendakwah pada dahulu kala, contoh Sultan Ariffin yang hebat berhijrah ke Negeri Melaka untuk menyebarkan Islam dari Yaman serta menjadi guru-guru kepada ulama dalam alam Nusantara Melayu,” katanya.

Beliau berkata, demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas sesi lawatannya ke Pulau Besar, hari ini yang turut dihadiri Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Haji Abdul Rahman Osman.

Mengulas mengenai potensi Pulau Besar sebagai pusat penyebaran Islam, Abdul Halim berkata, kawasan itu amat sesuai bagi sebarang aktiviti keagamaan asalkan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

“Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti perkhemahan ibadat, kem motivasi atau kursus-kursus kepimpinan oleh badan bukan kerajaan (NGO). Inilah masanya kita manfaatkan kemudahan di Pulau Besar yang indah dan tenang ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5329
Kongsi :
Previous post MySejahtera dijadikan platform digital kesihatan awam
Next post SPR panjangkan tempoh pengundian PRU15 selama sejam
Ubah saiz-+=