Maaf tidak dapat berjumpa semua pengundi – Qi Yao
KOTA MELAKA 18 November – “Jangan pikir banyak, terus pandang ke hadapan dan jangan ke belakang lagi,” itu kata-kata semangat yang dilontar Chiew Hong Lan, ibu kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Melaka.
Menurut Hong Lan, 66, sebagai seorang ibu pastinya dia mahu kejayaan berpihak kepada anaknya dan berharap agar rakyat memberi peluang kepada Kon Qi Yao untuk mentadbir serta membawa perubahan di Parlimen.
Warga emas itu yang juga Ketua Wanita MCA Melaka berkata, sudah pasti tempoh berkempen selama 14 hari, bukan sesuatu yang mudah namun anak sulungnya daripada empat beradik itu mengharunginya dengan penuh semangat.
“Saya selalu beri semangat kepada anak agar jangan putus asa dan tumpukan sepenuh perhatian kepada kempen, perkara lain usah risau, keluarga kami tolong uruskan.
“Jika dulu saya selalu nasihatkannya sekarang sudah terbalik, dia pula selalu nasihatkan saya, sejak dari kecil dia seorang anak yang sentiasa berdikari oleh itu saya yakin dia mampu menggalas tanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Qi Yao atau mesra disapa Ah Kon berkata, dia memohon maaf berikutan tidak mempunyai masa yang cukup untuk berjumpa semua penduduk Kota Melaka yang mempunyai 164,000 pengundi.
“Memang susah mahu jumpa semua orang, minta maaf saya tidak dapat jumpa setiap pengundi di Parlimen ini. Jentera cadangkan agar di saat akhir ini, saya guna pendekatan ini (berkonvoi) untuk kenalkan diri kepada pengundi.
“Konvoi ini berhenti di setiap tokong dalam Parlimen Kota Melaka untuk berdia agar cuaca esok baik, jadi semua dapat keluar dan proses pengundian berjalan lancar. Malah saya turut mendoakan agar ayah saya diberikan kesihatan,” katanya.
Mengulas lanjut Qi Yao berkata, bapanya Kon Siow Pong, 69, dimasukkan ke hospital pada 9 November selepas terbabit kemalangan dan masih dirawat sehingga kini.
“Jauh disudut hati saya mendoakan agar ayah sembuh kembali dan esok pihak hospital dapat membenarkannya keluar untuk mengundi,” katanya dalam nada sebak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.