M-WEZ secara rasminya dilancarkan

Masa Membaca:2 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR 8 April – Koridor ekonomi pesisir laut berimpak tinggi, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) secara rasminya dilancarkan hari ini.

Pelancaran disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di hadapan kira-kira 500 jemputan kenamaan termasuk para pelabur dari dalam dan luar negara di Hotel Royale Chulan di sini.

Beliau dalam ucapan perasmiannya berkata, pembangunan koridor itu bertujuan mewujudkan pembangunan yang mampan dan berdaya maju dan menarik pelaburan domestik dan asing dalam revolusi industri 4.0, yang disokong oleh teknologi pintar dan hijau.

SULAIMAN melihat pameran pada pelancaran Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) hari ini.

“Koridor ini akan berada di tanah seluas 25,000 ekar di pesisir laut dan ditambak dengan jarak 33 kilometer dari utara Melaka berhampiran Sungai Udang hingga ke selatan di Umbai.

“Terdapat dua sebab utama mengapa kita memilih koridor iaitu kerana M-WEZ akan menyelesaikan “teka-teki jigsaw” pembangunan koridor ekonomi di seluruh negara.

“Keduanya, sehingga kini Melaka adalah satu-satunya negeri tanpa koridor,” katanya.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif M-WEZ, Mohd Yusof Abu Bakar, barisan EXCO kerajaan negeri, pelabur serta lain-lain kenamaan.

Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini (MHI) merangkap Penasihat Media Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, koridor itu juga yang akan menjadi medium pertumbuhan baharu dan pemboleh ekonomi utama yang akan mewujudkan pekerjaan baru, lebih banyak peluang perniagaan dan meningkatkan tahap pendapatan.

“Dari unjuran kami, dijangkakan zon ekonomi ini akan menarik lebih dari RM100 bilion pelaburan dari seluruh dunia dalam jangka masa 15 tahun.

“Ia diharapkan dapat menghasilkan lebih dari 20,000 pekerjaan baru setiap tahun dengan keutamaan akan diberikan kepada pekerja Malaysia,” katanya.

Pelancaran M-WEZ secara rasminya turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan pelabur iaitu Telekom Malaysia Berhad (TM), Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) dan Leaptec Engineering Sdn Bhd

M-WEZ bakal menjadi koridor pertama di pesisir pantai Selat Melaka dengan keluasan 10,117 hektar (25,000 ekar) sepanjang 33 kilometer pesisir pantai dari Tanjung Kling hingga ke Telok Mas itu membabitkan kawasan pembangunan tambak laut seluas 6,070 hektar.

Jika dibuat perbandingan, kawasan 6,070 hektar yang akan dibangunkan dengan lima zon utama itu adalah lebih besar daripada saiz Putrajaya seluas 4,931 hektar.

Lima zon utama M-WEZ adalah Melaka Habourfront, Smart Logistic Nucleus, Digital Satellite Township, Central Eco Business Park dan Trade Nucleus New Township yang mana kelima-lima zon mempunyai komponen tersendiri dengan fungsi yang saling berkaitan.

Koridor berkenaan merupakan cetusan idea Sulaiman bagi menunjukkan komitmen kerajaan negeri bermula Mei 2020 untuk bangkit dan mengeksplorasi sumber kewangan bernilai tinggi dan mampan ekoran dari kesan pandemik COVID-19.

Berita lanjut menyusul

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2225
Kongsi :
Previous post Pemilihan awal ‘abang sado’ ke Sukan SEA 2021 Ahad ini
Next post Dua kru Kapal MV Rapallo warga Romania melecur
Ubah saiz-+=