M-WEZ mampu jana pelaburan RM100 bilion
AYER KEROH 25 Ogos – Tiga pelabuhan bertaraf dunia yang bakal dibangunkan di negeri ini melalui rancangan koridor ekonomi baharu Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) dijangka mampu menarik nilai pelaburan kira-kira RM100 bilion.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, pelabuhan itu membabitkan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bagi hab perkhidmatan industri minyak dan gas, Pelabuhan Tanjung Beruas untuk hab kontena serta Melaka Gateway sebagai hab International Cruise Terminal (MICT).
Beliau berkata, M-WEZ dijangka meliputi kawasan tambakan sejauh 20 kira-kira kilometer.
“Pewujudan tiga pelabuhan itu bakal merancakkan lagi ekonomi negeri serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Dalam koridor baharu M-WEZ itu nanti ia akan dilaksanakan melalui inisiatif pihak swasta dan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Melakaku Maju Jaya.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr. Hasim Hasan.
Mengulas lanjut Sulaiman berkata, pembangunan koridor itu nanti adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Komprehensif Hala Tuju Melaka Lestari yang merangkumi tiga fasa.
“Fasa ini dijangka akan menjangkau sehingga tahun 2035 yang mana fasa pertama bermula dari 2020 hingga 2025,” katanya.
Terdahulu, seminar selama dua hari yang berakhir esok disertai lebih 200 peserta membabitkan wakil agensi kerajaan serta kehadiran pakar pelbagai bidang bagi memberikan pandangan hala tuju yang dirancang serta direncanakan.