M-WEZ dilancar 8 April di Kuala Lumpur, tarik pelabur Jepun, China, Jerman
AYER KEROH 1 April – Melaka berjaya menarik pelabur daripada Jepun, China, Jerman dan beberapa lagi negara maju yang menunjukkan keyakinan terhadap koridor ekonomi baharu berimpak tinggi Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) yang akan dilancarkan 8 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif M-WEZ, Mohd Yusof Abu Bakar berkata, majlis pelancaran akan disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Menurut beliau, lokasi Kuala Lumpur dipilih sebagai pelancaran memandangkan kebanyakan pelabur selain agensi, syarikat gergasi dan dewan perniagaan berpusat di ibu negara.
“Setakat ini, menjelang pelancaran oleh Ketua Menteri Melaka pada 8 April kita harapkan lebih banyak penglibatan pelabur baharu.
“Kita percaya dengan kehadiran dewan perniagaan dari China, Jepun, Eropah, Jerman dan sebagainya, kita dapat tarik minat mereka menyertai M-WEZ,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini (MHI), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pegawai Operasi MHI, Anuar Shaari.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, M-WEZ yang memerlukan tempoh masa pembangunan hingga 2035, disasarkan menjana pelaburan RM100 bilion dan mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan sehingga siap sepenuhnya.
“Selepas itu setiap tahun sumbangan disasarkan (contribution) daripada projek M-WEZ ini adalah lima peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)Â Melaka berjumlah kira-kira RM3 bilion ke RM4 bilion setahun,” katanya.
Tambah beliau, walaupun Malaysia mempunyai beberapa koridor pembangunan ekonomi seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Malaysian Vision Valley, M-WEZ mempunyai keunikannya yang tersendiri.
“Ini kerana M-WEZ adalah satu-satunya kawasan yang terletak di laluan Selat Melaka dengan kelebihan salah satunya adalah waterfront (pesisir pantai) yang mana itu adalah satu potensi yang bagus kepada para pelabur.
“Dengan kedudukannya terletak di Selat Melaka iaitu salah satu laluan maritim tersibuk di dunia yang mana setahun lebih kurang 100,000 kapal melalui selat ini, ia menjadi salah satu kelebihan buat koridor ekonomi ini,” katanya.
M-WEZ merupakan cetusan idea Sulaiman bagi menunjukkan komitmen kerajaan negeri bermula Mei 2020 untuk bangkit dan mengeksplorasi sumber kewangan bernilai tinggi dan mampan ekoran dari kesan pandemik COVID-19.
Projek pembangunan kawasan tambakan laut berkeluasan 25,000 ekar sepanjang 33 kilometer persisiran pantai Melaka ini bakal menjadi penggerak ekonomi baharu dalam tempoh 30 tahun akan datang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.