M-WEZ ambil perhatian segala bantahan babit projek tebus guna tanah
AYER KEROH 23 Dis – Majlis Pembangunan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) akan meneliti segala bantahan yang dibangkitkan berhubung projek tebus guna tanah bagi pembangunan koridor ekonomi itu.
Ketua Pegawai Eksekutif M-WEZ Mohd Yusof Abu Bakar berkata, segala bantahan itu akan disesuaikan dengan keperluan daripada Jabatan Teknikal yang terlibat.
Bagaimanapun, tegasnya buat masa ini, segala aspek pembangunan yang dirangka masih dalam peringkat kajian, termasuklah masih menunggu laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).
“Orang ramai perlu faham bahawa, sekiranya ada masalah dalam laporan EIA, pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sendiri tidak akan memberi kebenaran kepada projek tersebut.
“Jadi, kita perlu bercakap mengikut fakta dan kita akan merujuk segala laporan sebelum sebarang keputusan lanjut diambil,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab bantahan yang dikemukakan sebuah gabungan NGO yang dikenali sebagai Save Our Shores (SOS) Melaka, hari ini.
SOS Melaka mendakwa kebimbangan utama orang ramai ialah projek tambak laut di atas tanah seluas lebih 121 hektar itu akan menjejaskan aliran air sungai ke laut, sekali gus dikhuatiri menyumbang punca banjir kilat.
Selain itu, mereka turut mendakwa projek pembangunan itu dibuat di atas tapak yang diwartakan sebagai kawasan warisan negara, selain akan menjejaskan kawasan pendaratan penyu di Pulau Upeh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.