Sorting by

×

Lupa ‘scan’ MySejahtera, pelancong ke Melaka dikompaun

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BUKIT BERUANG 10 Dis – Gara-gara terlupa mengimbas kod Mysejahtera di kedai makan, percutian hari terakhir seorang wanita di Melaka bertukar tragedi selepas dikenakan kompaun RM1,000.

Wanita berusia 23 tahun itu bagaimanapun terpaksa akur dikompaun oleh penguatkuasa kesihatan kerana hanya dia sahaja gagal mengimbas MySejahtera sedangkan tiga lagi rakannya sudah berbuat demikian di sebuah premis kedai makan di Bukit Beruang.

Demikian antara ragam yang dapat disaksikan dalam operasi mengejut dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, malam tadi.

Dalam operasi yang turut disertai Exco Kesihatan Dr Muhamad Akmal Saleh itu, tiga lagi individu turut dikompaun penguat kuasa kesihatan di atas kesalahan yang sama.

Muhamad Akmal menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya mengimbas kod MySejahtera di setiap premis yang dimasuki.

Katanya, sejak 18 Mac 2020 hingga selasa lalu, sebanyak 609 individu gagal menggunakan aplikasi MySejahtera atau mencatatkan nama serta nombor telefon sebelum memasuki premis.

“Jabatan Kesihatan Negeri Melaka tidak akan bertolak ansur dalam ketidakpatuhan SOP orang awam yang makan di premis makanan dan gagal mengimbas kod MySejahtera, sedangkan hal ini telah dikuatkuasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama lagi.

“Masih ramai yang tidak patuh dengan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit atau Akta 342 yang telah dikuatkuasakan sejak dua tahun lalu apabila sebanyak RM12.8 juta kompaun dikeluarkan di seluruh Melaka di atas pelbagai kesalahan.

“Sejak 18 Mac 2020 hingga 7 Disember lalu, sebanyak 6,777 kompaun telah dikeluarkan manakala sebanyak 30,084 premis telah diperiksa melibatkan pelbagai sektor ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Operasi Khas Penguatkuasaan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau di sekitar Ayer Keroh, malam tadi.

EMPAT pelanggan menunjukkan MySejahtera yang diimbas di kedai makan.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, seramai 46 penguat kuasa telah digerakkan dalam operasi mengejut itu yang bertujuan untuk mencegah COVID-19 daripada merebak di negeri ini.

“Hal ini kerana, kita diberi tanggungjawab mengawal kadar jangkitan di negeri ini maka pengawalan SOP amat penting dan ini (Operasi) bukanlah yang terakhir serta kita akan perluaskan ke seluruh kawasan dalam masa yang terdekat dan semuanya akan dilakukan secara mengejut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1415
Kongsi :
Previous post Selamba hisap rokok di kedai makan, lapan lelaki dikompaun
Next post Jadikan sekolah tempat terokai minat anak-anak – Dira
Ubah saiz-+=