Sorting by

×

Luluh hati rumah hangus dijilat api

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER LIMAU 30 Jun – Luluh hati enam beranak apabila melihat rumah pusaka keluarga yang terbina lebih 80 tahun hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Pengkalan Pauh, Lubok Cina, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu, Noraspalela Ayob, 45 bersama ibunya, Salmah Kassim, 81 serta empat anaknya berusia antara 11 hingga 25 tahun hilang tempat berlindung selepas rumah yang didiami terbakar akibat lintar pintas.

Ketika dihubungi, Noraspalela berkata, tiada apa yang sempat diselamatkan selain dokumen pengenalan diri dan sebuah kereta.

Menurutnya, rumah pusaka itu sudah lama dibina sejak lebih 80 tahun dahulu dari zaman datuk moyangnya sehingga ke generasi sekarang.

“Kami tidak pernah mengubah apa-apa struktur bangunan, sebaliknya hanya memperbaiki kerosakan dan menukar cat rumah.

“Di situlah tempat kumpul ahli keluarga, saudara mara, sekiranya ada keraian atau perjumpaan bersama, tetapi hangus sekelip mata.

“Bagaimanapun saya reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur tiada apa-apa berlaku kepada ibu dan anak-anak saya, itu yang penting,” katanya dalam nada tenang, namun tersembunyi sebak di dada.

Menceritakan detik kejadian, katanya, ibu dan anak-anaknya sedang tidur manakala dia terjaga untuk ke bilik air.

“Anak perempuan saya, Nurfarahana Anuar, 24 beritahu dia ternampak percikan cahaya dari tingkap di serambi rumah sebelum asap mula berkepul memenuhi ruang rumah,” katanya.

Noraspalela yang bekerja di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Alor Gajah berkata, dia bagaimanapun, bersyukur dan berterima kasih selepas lawatan Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali petang semalam, pelbagai agensi berkaitan menghulurkan bantuan termasuk barang keperluan asas.

Tambahnya, Sulaiman semalam memaklumkan kepada Pegawai Daerah Alor Gajah supaya mempercepatkan proses pembinaan rumah percuma bernilai RM45,000 akibat bencana.

“Untuk sementara ini, kami berenam tinggal di rumah saudara di Taman Wira Indah, Lubok Cina sebelum rumah baru siap dibina,” katanya.

Views:

342
Kongsi :
Previous post “Caj gunting rambut naik, demi keselamatan pelanggan”
Next post Waris mendiang Keng Tong dicari
Ubah saiz-+=