Sorting by

×

Luluh hati ibu anak bongsu ditemukan lemas

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

PANTAI KUNDOR 4 November – “Biasanya setiap hari Asyraf akan hubungi saya, tidak kira masa, tapi sejak tiga hari lalu, dia hanya senyap tanpa khabar berita. Tak sangka, hari ini, saya dimaklumkan dia lemas ketika mandi-manda di pantai.”

Itu luahan hiba ibu kepada Mohd Asyraf Fakrul, 6, kanak-kanak lelaki yang ditemui lemas di Pantai Puteri, petang tadi.

Noor Faezah Zulkifli, 29, berkata, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik tidak tinggal bersamanya di Kampung Gelam.

Sebaliknya, mangsa bersama abangnya yang berusia 10 tahun dijaga nenek mereka yang tinggal di Batu 10, Pantai Kundor.

“Sebelum ini, Asyraf hanya bermain di sekitar kampung, tapi saya tidak tahu kenapa kali ini dia mandi-manda di pantai. Ikutkan kali terakhir saya jumpa arwah tidak menunjukkan perangai pelik. Cuma saya hairan kenapa dia langsung tidak menghubungi saya.

“Biasanya dia kerap minta saya pulang ke rumah neneknya untuk mengambilnya, tetapi dua tiga hari ini tiada langsung panggilan daripadanya,” katanya.

Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun ditemui lemas ketika mandi-manda di Pantai Puteri, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa dikatakan pergi ke pantai bersama tiga rakannya untuk mandi-manda selepas menunaikan solat Jumaat.

Mangsa dikatakan bertindak terjun daripada pembetungan yang menghala ke laut dan tidak timbul menyebabkan rakan mangsa segera mendapatkan bantuan daripada orang ramai.

Mayat mangsa ditemui Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah pada jam 6.22 petang tadi.

Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira tiga jam menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebaik menerima panggilan pada jam 3.45 petang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

12201
Kongsi :
Previous post Perzim, UPSI bukukan dialek Melaka dan Negeri Sembilan
Next post Alumni terus cakna pembangunan UTeM
Ubah saiz-+=