Lukisan mural hargai petugas ‘Frontliner’
AYER KEROH 20 Dis. – Jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan (frontliner) telah disematkan menerusi nukilan lukisan mural bagi menghargai jasa mereka dalam mengharungi pandemik COVID-19 yang melanda negara serta global amnya.
Lukisan mural itu diilhamkan oleh 15 pelajar Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST) yang berjaya menyiapkan hasil seni itu dalam tempoh tiga hari.
Menariknya, hasil lukisan yang dipaparkan di stesen minyak Shell di Ayer Keroh itu telah dirasmikan sendiri oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini, semalam.
Ismail Sabri menyifatkan sokongan masyarakat bagi menghargai peranan frontliner adalah penting bagi mengiktiraf peranan mereka, sekali gus membakar semangat mereka untuk terus berbakti demi masyarakat.
“Tahniah dan terima kasih atas usaha yang dilakukan warga MiCoST semoga perkara ini mampu membawa semangat baharu buat mereka,” katanya.
Pada masa sama, pengurus stesen minyak Shell terbabit, Ridzuan Ahmad berkata, kerja-kerja melukis mural yang dihasilkan pelajar terbabit mampu mencuri perhatian orang ramai dengan simbolik menghargai golongan itu.
“Menerusi projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) MiCoST kepada komuniti ini, terletak di laluan utama dari Bandaraya Melaka ke Ayer Keroh dan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan dapat dilihat dengan jelas oleh orang ramai.
“Di samping bagi menghargai golongan ini lukisan mural ini juga mampu menjadi tarikan utama buat mereka yang lalu di kawasan ini,” katanya.