Luka tetak dan potong punca kematian wanita warga emas
IPOH, 5 Jun – Hasil bedah siasat ke atas keratan mayat wanita warga emas yang dipercayai dibunuh anaknya di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar mendapati punca kematiannya adalah akibat luka tetakan dan potongan tubuh.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata proses bedah siasat ke atas keratan mayat wanita berusia 68 tahun itu dijalankan di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.
“Tubuh mangsa telah dipotong hingga putus kepada 15 bahagian termasuk kepala, tangan, kaki dan organ badan yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, polis menahan lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai membunuh dan memotong badan ibunya, susulan penemuan potongan-potongan daging menyerupai anggota badan manusia di dalam tangki kumbahan rumah itu kira-kira 3.30 petang.
Mangsa hanya tinggal berdua bersama suspek di rumah itu sejak 12 tahun lepas selepas suami mangsa meninggal dunia dan mereka menjalankan urusan jual beli barangan terpakai.
Polis turut merampas sebilah parang, dua pisau serta barang-barang yang dipercayai digunakan suspek bagi melakukan pembunuhan gara-gara tidak berpuas hati dengan pembahagian harta pusaka mendiang bapanya.
Suspek yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik pernah menerima rawatan sebagai pesakit mental di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang 20 tahun lepas namun tidak menerima rawatan susulan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.