Lubok China banjir lagi

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER LIMAU 1 Jan – Hujan lebat sejak jam 8 malam tadi menyebabkan pekan Lubok Cina, di sini, hari ini ,sekali lagi dinaiki air.

Bagaimanapun, air hanya naik setinggi kira-kira 0.6 meter (dua kaki) mulai jam 7 pagi ini berbanding kira-kira dua meter ketika banjir besar melanda pada 18 Dis lalu.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati air naik di laluan antara pekan Lubok Cina dengan Kampung Bangsal Atap, Rembau Negeri Sembilan, sekali gus menyebabkan jalan di kawasan itu tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Selain itu, air turut naik di bulatan di pekan Lubok China selepas Sungai Rembau melimpah melepasi tebing akibat hujan lebat di hulu sungai.

Edy Effandy memerhatikan banjir di laluan pekan Lubok Cina, Masjid Tanah ke Kampung Bangsal Atap, Rembau Negeri Sembilan hari ini.
Foto Din Ahmad

Seorang mekanik kereta, Edy Effandy Surani, 43, berkata dia tidak mampu melepasi air yang naik di laluan pekan Lubok China ke Kampung Nerambai ketika tiba di laluan itu pada jam 7 pagi tadi.

“Saya hendak ke bengkel kereta saya di Kampung Nerambai tetapi tidak berjaya kerana air sudah tinggi dan agak deras.

“Bagaimanapun keadaan hari ini tidak seteruk banjir besar pada 18 Dis lalu dan saya berdoa agar hujan segera teduh bagi membolehkan saya ke bengkel,” katanya.

Dia berkata, setiap kali hujan lebat, laluan berkenaan sering dinaiki air berikutan kedudukannya yang rendah dan terlalu hampir dengan Sungai Rembau.

Penduduk Kampung Telok Berembang, Zulkifli Md Dali, 53, berkata bulatan di pekan berkenaan memang sering dinaiki air setiap kali hujan lebat.

“Kadang kala ia boleh dilalui motosikal dan kadang kala hanya lori yang boleh lepas, bergantung pada keadaan air sama ada tinggi sangat atau naik sedikit sahaja,” katanya.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan hujan yang sudah teduh mulai jam 9 pagi ini, dia yakin air akan surut sebelah tengah hari atau petang.

Zulkifli Md Dali, 53 Foto Din Ahmad

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1678
Kongsi :
Previous post Banjir: Dua pusat pemindahan dibuka, 96 mangsa di Melaka setakat 8 pagi
Next post Beri alasan hotel tempat berteduh hujan
Ubah saiz-+=