Sorting by

×

Luahan abang ‘rider’

Masa Membaca:2 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 27 Mei – “Sebelum ini saya bekerja jam 10 pagi hingga lewat malam, namun kali ini terpaksa ubah jadual itu untuk bergerak awal pagi dari Tampin ke Ayer Keroh demi menjana pendapatan,” kata pekerja penghantar makanan, K. Mayilon, 22, yang berdepan cabaran apabila  waktu operasi perniagaan dihadkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

Jelasnya, dia terpaksa merentas daerah demi mencari rezeki yang tidak menentu dan memilih kawasan tumpuan utama seperti di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bagi menjalankan tugasan biarpun waktu operasi perniagaan dipendekkan dari 8 pagi hingga 8 sahaja.

Katanya, disebabkan waktu operasi premis makanan yang terhad, pendapatan kebanyakan penunggang e-hailing sepertinya terkesan hampir 50 peratus daripada perkhidmatan yang ditawarkan.

K.MAYILON.

“Saya memilih lokasi MITC kerana kawasan ini antara ‘hotspot’ di Melaka malah penghantar makanan yang bekerja di sini menerima pesanan yang memuaskan berbanding di Tampin dan kebanyakannya dipesan oleh pengguna yang merupakan penjawat awam di pejabat kerajaan.

“Dulu bekerja selama 12 jam bolehlah dapat lebih 30 pesanan dan kini turun hampir 50 peratus, malah jika nasib baik dapatlah lebih 15 pesanan dalam tempoh itu.

“Persaingan makin sengit apabila jumlah penghantar makanan semakin meningkat berbanding sambutan pesanan yang diterima pada PKP 1.0 dan PKP 2.0 lalu.

“Dalam keadaan sekarang ramai yang kehilangan pekerjaan dan mungkin ini salah satu pekerjaan yang mudah menerima pekerja baharu membuatkan bilangan ‘rider’ semakin ramai di negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Tinjauan MHI di MITC mendapati lambakan pekerja penghantar makanan dari pelbagai syarikat mula mengelilingi di kawasan utama itu, namun ada juga yang berhenti di tepi jalan dan beberapa lokasi berdekatan seperti sedang menunggu giliran mendapat pesanan.

Jika bernasib baik, barulah ada bayang mereka mula mengunjungi premis perniagaan di sekitar lokasi itu demi mendapatkan makanan yang dibungkus untuk dihantar ke lokasi yang dipesan pelanggan.

Bagi Mohd Adam Samad, 20, yang turut terkesan dengan situasi itu pasrah dengan keadaan yang diterimanya, biarpun kadangkala terpaksa menunggu lebih setengah jam untuk menerima pesanan.

MOHD Adam.

Jelasnya yang baharu seminggu bekerja sebaik diberhentikan sebagai pekerja kilang, dia akur dengan keadaan yang melanda dan memilih pekerjaan penghantar makanan sebagai jalan terbaik bagi meneruskan kelangsungan hidupnya.

“Sebelum ini memang ada terima lebih 15 pesanan sejak awal bekerja tapi sekarang sejak SOP diperketatkan, hanya enam pesanan diterima sehari bekerja di kawasan ini,” katanya.

ADILAH.

Seorang pekerja penghantar wanita, Adilah Abdul Aziz, 24, turut senada biarpun mengakui perbezaan ketara dari segi sambutan terhadap perkhidmatan ditawarkan sebelum dan ketika PKP 3.0 dikuatkuasakan.

Dia yang bekerja sambilan kerana masih belajar berkata, keadaan benar-benar berubah terutama menjelang pada waktu puncak kerana pesanan yang diterima hanya ‘suam-suam kuku’.

“Sebelum ini kalau pada waktu puncak kami memang tidak putus menerima pesanan pelanggan sehinggakan semua ‘rider’ terlalu sibuk mengejar tempahan yang diterima.

“Malah, ramai terpaksa menunggu untuk bekerja sampai malam kerana sambutannya memang mendatangkan hasil pada waktu itu menyebabkan kami tidak menang tangan untuk memenuhi pesanan yang diterima,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan memperketatkan beberapa SOP terutama dalam sektor ekonomi sepanjang PKP 3.0 berkuatkuasa di negara ini.

Antara semua operasi perniagaan hanya dibenarkan dari 8 pagi hingga 8 malam kecuali farmasi yang dilanjutkan hingga 10 malam berkuatkuasa 25 Mei hingga 7 Jun depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post Covid: Malaysia catat kes harian tertinggi dengan 7,857 kes
Next post Angkara kilang ayam, 2,000 penduduk di tiga kampung diserang lalat dan bau busuk
Ubah saiz-+=