Sorting by

×

LTdL 2023: Peluang promosi Melaka di mata dunia

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

SERI NEGERI – Penganjuran edisi ke-27 perlumbaan basikal antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 akan dimanfaatkan Kerajaan Negeri untuk mempromosikan Melaka sebagai destinasi pilihan pelancongan utama dan lokasi pilihan pelabur global.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari berkata, keutamaan promosi sudah pasti terarah kepada Tahun Melaka Melaka 2024 (TMM2024) yang kini berbaki kurang dari 150 hari sahaja lagi.

Namun pada masa yang sama katanya, Kerajaan Negeri mahu menggunakan kesempatan sepanjang lapan hari LTdL 2023 berlangsung untuk mempromosikan peluang yang ada di koridor ekonomi pesisir laut berimpak tinggi, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) kepada mana-mana pihak yang sedang mengintai peluang atau mencari tapak pelaburan.

Jelasnya, Dataran Pahlawan akan menjadi penamat kayuhan bagi peringkat ke-6 iaitu dari Karak ke Melaka sejauh 176.6 kilometer (km).

Katanya, kayuhan itu akan melalui Menggong, Machap, Durian Tunggal, Batu Berendam dan tamat di Dataran Pahlawan.

“Namun bagi peringkat ke-7 mambabitkan Muar ke Seremban, laluan perlumbaan juga akan membabitkan beberapa lagi lokasi sekitar Melaka, jadi menerusi penganjuran LTdL 2023 negeri ini akan menjadi tumpuan dunia selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 September.

“Semenangnya menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk memanfaatkan sepenuhnya LTdL 2023 ini sebagai medium atau batu loncatan untuk mempromosikan seterusnya memperkasakan sektor pelancongan Melaka.

“Perlu ingat Melaka adalah negeri pelancongan berikutan itu aktiviti promosi akan dilakukan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Peringkat Negeri Perlumbaan LTdL 2023 Peringkat ke-6 Dari Karak Ke Melaka di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, Seri Negeri, di sini, pada Selasa.

Hadir sama pada mesyuarat itu Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Datuk Maslina Baki.

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri, Khairul Adri Rosli

Menurutnya, hasil perbincangan pada mesyuarat itu pihak penganjur membuka peluang kepada Kerajaan Negeri untuk memaparkan logo rasmi TMM2024.

“Kita juga bercadang untuk mempromosikan TMM2024, M-WEZ dan produk pelancongan Negeri Melaka yang lain menerusi perarakan ‘cavalcade’ sepanjang LTdL berlangsung dari 23 hingga 30 September nanti.

“Cavalcade membabitkan kenderaan penganjur dan penaja yang membuat perarakan sepanjang laluan perlumbaan, jadi sepanjang tempoh itu kita akan mempromosikan Negeri Melaka.

“Ini adalah satu peluang untuk mempomosikan Melaka kerana laluan perlumbaan membabitkan hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Selain itu beliau meminta orang ramai khusus di sepanjang laluan perlumbaan untuk bersama-sama menjaga kebersihan, sekali gus mencerminkan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan yang bersih.

“Murid dan pelajar sekolah juga diminta untuk bersama-sama memeriahkan perlumbaan dengan memberi sorakan semangat kepada pelumba,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2339
Kongsi :
Previous post Cikgu veteran berentap di padang sintetik Nyalas
Next post Tiga kedai, sebuah motosikal rosak dirempuh lori
Ubah saiz-+=