LTAM kembali sibuk Oktober depan – KM
BANDA HILIR 9 Ogos – Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) kembali beroperasi dengan menerima penerbangan pertama daripada syarikat penerbangan tambang rendah Singapura, Scoot pada 23 Oktober ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata penerbangan itu menawarkan pakej pergi dan balik ke Singapura dengan kekerapan sebanyak lima kali seminggu.
“Kita akan meraikan kemasukkan penerbangan ke Singapura yang menggunakan ‘Scoot Airlines’ bermula pada 23 Oktober ini dengan harga serendah RM280 bagi tiket pergi dan balik.
“Jadi saya melihat dengan adanya penerbangan yang akan masuk ini ia akan merancakkan lagi sektor pelancongan di Negeri Melaka.
“Pelancong boleh memilih menggunakan sambungan penerbangan ke destinasi- destinasi luar negara, begitu juga pelancong luar negara boleh datang ke Melaka dengan mengadakan ‘connectivity buyer’ dari Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Matta Fair Melaka 2024 bermula 9 hingga 11 Ogos ini di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama Timbalannya, Datuk Zaidi Attan; Timbalan Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Sheikh Awadh Sheikh Abdullah dan Pengerusi MATTA Melaka, Goh Hock Gin.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri juga sedang berunding dengan beberapa syarikat penerbangan lain untuk masuk ke LTAM.
“Kita sedang berunding dengan beberapa syarikat penerbangan lain supaya memberikan lagi penerbangan baharu sekali gus memberikan pulangan dari sudut ekonomi di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.