LRT laluan Kelana Jaya kembali beroperasi selepas dijamin selamat
KELANA JAYA 26 Mei – Kerja-kerja pembersihan debris dan landasan di lokasi kemalangan dua tren Aliran Transit Ringan (LRT) kelmarin, kini sedang giat dijalankan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tempoh tiga hari bermula semalam telah diberikan untuk kerja-kerja pembersihan itu, selain dua tren yang terlibat juga akan dihantar ke depoh LRT Kelana Jaya untuk pembaikan pada tengah malam ini.
Beliau berkata, operasi perkhidmatan tren akan kembali beroperasi seperti sedia kala apabila semua laluan Kelana Jaya khususnya di tempat kejadian iaitu antara stesen KLCC dan Kampung Baru dibersihkan serta mendapat kelulusan operasi oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Sejurus kerja pembersihan diselesaikan, pihak Prasarana akan segera membuat ujian perjalanan dengan tren yang lain (tanpa penumpang) pada tengah malam (ketika tiada perkhidmatan LRT) bagi memastikan semua laluan selamat digunakan khususnya di kawasan yang terlibat dengan kemalangan.
“Kesemua 58 tren dijangka beroperasi semula secepat mungkin seterusnya dapat mengelakkan kesesakan serta kepadatan penumpang. Apa yang penting, soal keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami.
“Saya juga dimaklumkan bahawa apabila landasan di tempat kejadian dipulihkan kepada dua landasan, maka fenomena ‘bottleneck’ di tempat kejadian yang berlaku pada waktu kemuncak pagi 25 Mei 2021 dapat diselesaikan dan kelicinan perkhidmatan LRT akan ditingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi (OCC) LRT Laluan Kelana Jaya di Subang, hari ini.
Mengulas mengenai OCC berkenaan, Ka Siong mengakui berpuas hati dengan operasi pusat kawalan itu termasuk membabitkan gerak kerja dan sistemnya.
“Dalam tinjauan saya hari ini, OCC beroperasi dengan baik dari segi sistem signaling, komunikasi dan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan penumpang di sepanjang 46 kilometer LRT Laluan Kelana Jaya dengan 37 stesen.
“Sekali lagi saya memohon orang ramai khususnya pengguna tren supaya bersabar sedikit masa lagi sebelum keadaan kembali normal.
“Dalam masa sama, semua pihak termasuk operator pengangkutan awam diingatkan supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.