LPM, PDTAG diarah bina rumah baharu buat Noraspalela
AYER LIMAU 1 Julai – Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali meminta Lembaga Perumahan Melaka (LPM) membina rumah baharu membabitkan kos kira-kira RM40,000 kepada mangsa kebakaran enam beranak di Kampung Pengkalan Pauh, Lubok Cina kelmarin.
Pegawai Daerah Alor Gajah, Rahizi Ranum berkata, pada pertemuan yang diadakan bersama pemimpin negeri itu, pihaknya turut diarahkan untuk menyelaraskan sebarang bantuan tambahan membabitkan kos pembinaan rumah.
“Yang Amat Berhormat Ketua Menteri minta LPM bina baru rumah dengan anggaran kos RM40,000.
“Namun demikian, beliau juga mohon PDTAG menyelaraskan sekiranya terdapat sumbangan lain untuk menambah kos pembinaan rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, Yang Dipertua MPAG, Mohd Fadhil Hassan berkata, menerusi pertemuan bersama Sulaiman semalam, pihaknya turut diarahkan untuk membantu semua mangsa dengan membersihkan sisa kebakaran secepat mungkin bagi membolehkan rumah baharu dibina dalam masa terdekat.
“Setakat ini, itu sahaja yang diberikan, manakala bantuan lain dibantu Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG),” katanya.
Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu, Noraspalela Ayob, 45 bersama ibunya, Salmah Kassim, 81 serta empat anaknya berusia antara 11 hingga 25 tahun hilang tempat berlindung selepas rumah yang didiami terbakar akibat litar pintas.