Sorting by

×

LPM Development Sdn Bhd fokus pembangunan rumah mampu milik

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 10 Feb – Bagi merancakkan pembangunan sektor perumahan negeri, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menubuhkan anak syarikat, LPM Development Sdn Bhd bagi membina dan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik dengan harga berpatutan.

Pengarah Eksekutif LPM, Mohd Salleh Hamidom berkata, penubuhan anak syarikat itu yang dipersetujui dan mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri diyakini dapat membantu rakyat negeri ini untuk memiliki kediaman sendiri.

Katanya, anak syarikat itu mempunyai peranan yang besar dalam memberi fokus terhadap pembinaan kategori rumah mampu milik termasuk rumah kos rendah dan sederhana.

“LPM menerusi LPM Development Sdn Bhd akan bertindak sebagai pemaju dengan membangunkan sendiri projek perumahan di negeri ini dengan menumpukan 100 peratus rumah mampu milik.

“Walaupun LPM sudah menubuhkan anak syarikat, projek usaha sama dengan pemaju swata masih diteruskan kerana mereka memberikan kerjasama yang baik dalam membangunkan rumah mampu milik.

“Usaha sama itu perlu diteruskan dan pertingkatkan kerana tanggungjawab bukan sahaja terletak kepada kerajaan, malah pemaju swasta dan LPM hargai kerjasama itu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di pejabatnya di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Salleh berkata bagi merealisasikan pembangunan itu, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kawasan boleh dibangunkan untuk projek perumahan rumah mampu milik kepada rakyat negeri ini secara berperingkat.

“Setakat ini, LPM mengenal pasti dan sebahagiannya sudah selesai dalam proses pembelian tanah membabitkan kawasan seluas lebih 200 ekar (80.9 hektar) yang akan dibangunkan anak syarikat.

“Antaranya termasuk kawasan di mukim Sungai Baru Ilir seluas 18.19 ekar (tujuh hektar) dengan pembinaan 23 unit rumah kos rendah dan 23 unit rumah kos sederhana serta 115 unit rumah mampu milik dengan 184 unit rumah mampu milik dengan dua keluasan berbeza.

“Juga kawasan di mukim Machap, daerah Alor Gajah seluas 97.04 ekar (39.2 hektar), mukim Rembia, Alor Gajah seluar 50 ekar (20.2 hektar) manakala di mukim Merlimau, Jasin seluas 50 ekar (20.2 hektar) dan mukim Kuala Sungai Baru, Alor Gajah seluas 20 ekar (8 hektar),” katanya.

Menurutnya, dari segi penyediaan rumah mampu milik pada masa akan datang, ia menjadi fokus utama LPM untuk menyasarkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat negeri kepada 88 peratus menjelang 2030.

“Dari segi dasar, kita kekalkan setiap projek perumahan melebihi lapan ekar (3.2 hektar) perlu ada komponen 50 peratus terdiri daripada rumah kos rendah.

“Pemilikan rumah bagi rakyat negeri ini setakat ini mencapai 83 peratus manakala masih ada baki 15 hingga 16 peratus yang masih belum memiliki rumah.

“Jadi, perancangan kita dalam tempoh 10 tahun lagi kita cuba sasarkan yang terbaik sehingga 88 peratus, bermaksud kita perlu membina kira-kira 39,000 unit rumah lagi untuk mencapai sasaran itu,” katanya

tamat

Views:

2859
Kongsi :
Previous post Pharmaniaga yakin mampu tampung permintaan vaksin di Malaysia
Next post Cadang bank longgarkan syarat pinjaman perumahan – REHDA
Ubah saiz-+=