Lot rumah kedai Pulau Melaka sudah beroperasi
AYER KEROH 2 Ogos – Lot rumah kedai di Pulau Melaka yang kini berwajah baharu, dijangka kembali meriah dengan kemasukan lebih ramai penyewa menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai.
Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Mohd Saleh Jusman berkata, justeru itu pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 30 unit aras bawah lot rumah kedai di kawasan tumpuan perniagaan itu akan diisi oleh penyewa pada suku ketiga tahun ini iaitu antara November dan Disember.
Katanya, setakat ini penyewa di 11 lot kedai Pulau Melaka sudah memulakan operasi masing-masing dengan menawarkan perkhidmatan cuci kenderaan, spa muslimah, kraftangan, stor buku, stor pendingin hawa, kedai canting batik dan restoran ikan bakar.
“Alhamdulillah lot rumah kedai Pulau Melaka semakin mendapat sambutan dan perhatian daripada usahawan mahu mengembangkan perniagaan mereka, buat masa ini kita sasar untuk penuhkan aras bawah dahulu dan kadar sewanya sama seperti diumumkan sebelum ini.
“Kita sudah menerima lima lagi permohonan sewa kedai ini dan bakinya adalah 14 unit lagi yang masih boleh disewa kepada mereka yang berminat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya aras dua dan tiga lot rumah kedai berkenaan sesuai untuk disewakan bagi kediaman penginapan pelajar-pelajar kolej atau universiti.
“Kita sudah adakan perbincangan dengan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) untuk mereka buat kajian sama ada sesuai atau tidak lot ini dijadikan penginapan pelajar lelaki dan perempuan mereka.
“Dengan adanya penginapan pelajar ini sudah tentu ia akan menghidupkan lagi suasana di Pulau Melaka ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.