‘Lorong Merdeka’ bukti semangat patriotik penduduk taman

Masa Membaca:2 Minit, 48 Saat

JASIN 31 Ogos –  Menjejakkan kaki ke Lorong 3, Taman Kesang Indah, Jasin, di sini, pasti membuatkan sesiapa sahaja terpukau, malah langkah menjadi kaku menjiwai perasan hiba yang tiba-tiba menerjah perasaaan.

Malah, tidak keterlaluan rasanya apabila bulu roma penulis tiba-tiba meremang melihat kesungguhan dan pengorbanan penduduknya yang sanggup berhabis masa dan wang ringgit menghiasi rumah dengan pelbagai hiasan bertemakan Hari Merdeka.

Mungkin disebabkan itulah, Lorong 3 itu digelar dengan nama ‘Lorong Merdeka’ oleh penduduknya kerana kemeriahan hiasan rumah-rumah menggunakan Jalur Gemilang dirasai setiap pelosok lorong tersebut.

SUASANA deretan rumah yang memasang bendera meriah di sepanjang Lorong 3, Taman Kesang Indah, Jasin Melaka sehingga mendapat jolokan ‘Lorong Merdeka’ dalam kalangan penduduk.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di taman tersebut pada malam ambang Hari Kemerdekaan ke-64 hari ini malam tadi mendapati lebih lima buah rumah di lorong terbabit yang dihiasi dengan bendera Malaysia dijadikan pelbagai corak motif hiasan yang menarik.

Menurut penduduk di situ, meskipun dalam keadaan pandemik COVID-19 melanda negara, itu tidak menghalang daripada mereka menghias rumah saban tahun apabila menjelangnya 31 Ogos.

Bagi penduduk, Baharudin Kanchil,  60, bulan Ogos setiap tahun bagai dinanti oleh setiap penduduk di lorong itu termasuk dirinya yang sudah menetap di situ sejak hampir 20 tahun lalu.

BAHARUDIN berkongsi album kemerdekaan yang memaparkan gambar dan keratan akhbar berkaitan Bulan Kemerdekaan di rumahnya di Taman Kesang Indah, Jasin, malam tadi.

Menurutnya, setiap kali tibanya Bulan Merdeka, dia bersama isteri dan anak-anak akan mula memasang bendera di hadapan rumah dan menghiasi mengikut tema sambutan.

Jelasnya, dia turut menghulurkan bantuan kepada jiran- jiran yang memerlukan bantuan untuk memasang bendera dan menyifatkan hubungan mereka sesama jiran akrab seperti keluarga.

“Hampir 10 tahun menghias rumah tiap kali Bulan Merdeka tiba, bagi saya ini cara saya mempamerkan rasa cinta pada Malaysia, selepas saya hias begini, ramai jiran-jiran mula terikut untuk menghias rumah.

HASSAN bergambar di hadapan rumahnya yang dihiasi Jalur Gemilang di Taman Kesang Indah, Jasin.

“Bulan Merdeka ini sangat istimewa bagi kami sekeluarga untuk menonjolkan jiwa patriotik dan sayangkan negara.

“Lama-kelamaan, tak sangka pula jiran-jiran mula terikut untuk pasang bendera, malah kami saling membantu menghiaskan rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui MHI di sini malam tadi.

Nada yang sama disuarakan seorang warga emas, Hassan Ali, 72, yang sudah menetap di taman tersebut hampir 25 tahun.

Katanya, dia menghias rumah setiap kali tibanya Ogos kerana ingin mempamerkan rasa patriotik pada negara dan tiada niat untuk bertanding sesama jiran.

Kongsinya, dia yang lahir sebelum merdeka turut melalui pelbagai peristiwa ketika negara berdepan peristiwa hitam sebelum merdeka dan turut mengenangkan ayahnya yang juga bekas prajurit negara ketika peristiwa di Bukit Kepong.

“Saya masih kecil ketika peristiwa-peristiwa hitam negara kita lalui itu, jadi saya ingat bagaimana susah dan payahnya nak mencapai kemerdekaan negara, ayah saya sendiri polis yang terlibat dalam pertumpahan darah di Bukit Kepong.

“Kalau tidak ada COVID-19 ini kami jiran-jiran akan datang berkumpul, macam hari raya, tonton filem merdeka bersama di perkarangan rumah untuk mengenang pengorbanan wira-wirawati negara dahulu.

“Sebab itulah, kami para penduduk menggelarkan jalan ini sebagai ‘Lorong Merdeka’ kerana kemeriahannya yang lebih dirasai berbanding sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3555
Kongsi :
Previous post Warga emas rugi hampir RM0.5 juta diperdaya ‘parcel scam’
Next post Tambahan dua hari sidang Dewan Rakyat beri laluan selesaikan usul kerajaan
Ubah saiz-+=