LORI TANGKI REMPUH TRELER SEBELUM TERBAKAR
ALOR GAJAH 8 Januari – Lori tangki yang terbakar dengan sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 199.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara petang tadi dipercayai berpunca selepas kenderaan berat itu merempuh belakang sebuah treler.
Susulan kejadian pada jam 3.50 petang itu, pemandu lori tangki berusia 41 tahun parah manakala pemandu kereta jenis BMW berusia 35 tahun dan pemandu treler berusia 40 tahun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga kenderaan itu dalam perjalanan dari arah selatan menghala ke utara.
Katanya, ketika kereta BMW itu tiba di lokasi kejadian, tayar belakang sebelah kanan kenderaan itu pancit sebelum pemandunya memberhentikan kereta di lorong kecemasan.
“Ketika kereta terbabit menunggu untuk dialihkan oleh sebuah kembalik, datang sebuah treler dari arah belakang memperlahankan kenderaan.
“Lori tangki yang ketika itu berada di belakang merempuh belakang treler sebelum tersasar ke bahu kiri jalan sehingga mengakibatkan kebakaran.
“Kereta yang juga berada di lokasi kejadian turut terbakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, akibat kemalangan itu, keseluruhan lori tangki dan kereta terbabit terbakar 100 peratus.
“Kemalangan itu turut mengakibatkan pemandu lori tangki parah dengan patah kaki kanan serta patah tangan kiri dan mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan.
“Ketiga-tiga kenderaan itu dibawa ke Puspakom Rembia bagi pemeriksaan kenderaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.