Lori lebih muatan ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

BUKIT KATIL, 24 Nov. – Membawa muatan melebihi had dibenarkan itu kesalahan yang dikesan dilakukan 17 pemandu lori dalam Ops Perdagangan (Timbang Berat), yang dijalankan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, operasi selama tujuh jam itu bermula 10 pagi semalam dijalankan di beberapa laluan utama kenderaan berat khususnya lori iaitu di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) menghala ke Krubong dan Belimbing Dalam.

Beliau berkata, lori yang ditahan pihaknya itu membawa pelbagai muatan secara berlebihan antaranya simen, besi, arang batu dan pasir termasuk jagung.

“Daripada jumlah itu lapan lori yang ditahan dikeluarkan notis untuk tindakan mahkamah manakala bakinya dikenakan kompaun.

“Ada diantara lori ini didapati membawa muatan berlebihan sehingga 70 peratus daripada had muatan sepatutnya yang dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua lori yang ditahan itu kemudian diarahkan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk ditimbang selain tiada sebarang tangkapan atau rampasan dibuat pihaknya sepanjang operasi itu dijalankan.

Mengulas lanjut, Hasan Basri berkata, tindakan lori muatan melebihi had ini bukan sahaja mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain malah turut mengakibatkan jalan raya mengalami kerosakan.

“Bagi mengekang tindakan ini daripada terus berlaku, operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di Melaka,” katanya.

Views:

1882
Kongsi :
Previous post Tiga Geng Ayip Gagap dihadapkan ke mahkamah
Next post Harga emas dijangka naik
Ubah saiz-+=