Sorting by

×

Lonjakan harga minyak beri ruang kerajaan tambah subsidi bahan api – Mustapa

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KOTA BHARU, 6 Mac – Harga minyak mentah dunia yang melonjak akibat konflik Rusia-Ukraine memberi kelebihan kepada kerajaan untuk terus menyediakan subsidi bahan api, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau bagaimanapun mengakui kenaikan harga minyak mentah dunia ketika ini akan turut memberi tempias kepada harga barangan lain khususnya yang diimport seperti gandum dan jagung.

Katanya kerajaan akan terus memantau situasi itu yang sudah pasti memberi cabaran kepada pengurusan kewangan negara.

“(Kenaikan harga minyak) akan meningkatkan hasil tetapi sebahagian hasil itu perlu disalurkan ke tempat lain, perkiraan belum dibuat… ketika ini cuma bergantung kepada andaian.

“Sebahagian peningkatan itu pula akan digunakan untuk membayar tambahan subsidi petrol dan diesel,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah hari ini.

Mustapa juga berkata proses pemulihan ekonomi yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dijangka berlaku lebih cepat berikutan pembukaan semula sempadan negara tidak lama lagi.

Beliau berkata perkara itu pastinya amat dinanti-nantikan oleh semua pihak terutama sektor pelancongan yang amat terkesan sejak COVID-19 menyerang negara sehingga terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada pertengahan Mac 2020.

“Selagi sempadan antarabangsa tidak dibuka, agak sukar untuk ekonomi negara pulih sepenuhnya… jadi antara prasyarat pemulihan ekonomi ialah pembukaan semula sempadan negara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi dan langkah itu membolehkan ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tidak bersua muka pulang terutama ketika Aidilfitri pada Mei nanti. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

679
Kongsi :
Previous post Malaysia bincang kuota, SOP haji dengan Arab Saudi
Next post PRN Johor: BN sasar kemenangan dua pertiga – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=