Longkang tidak diselenggara punca banjir kilat

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PAYA RUMPUT 28 Julai – Syarikat konsesi penyelenggaraan bagi jalan Persekutuan diarahkan supaya menyelenggara longkang di jejantas Taman Paya Mas, Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, ia berikutan kawasan itu sering dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat yang berlaku.

Menurutnya, masalah itu bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk berhampiran, bahkan boleh membahayakan pengguna jalan raya di kawasan itu.

“Masalah banjir kilat ini adalah satu masalah yang sangat sinonim dengan longkang yang kadang-kadang tidak diselenggara secara berkala dengan betul atau sifat tidak bertanggungjawab orang ramai membuang sampah dalam longkang.

“Jadi, saya bersama pihak Selia Selanggara Selatan (syarikat konsesi jalan Persekutuan) bersama Japerun meninjau dan membincangkan masalah yang boleh diatasi segera.

“Jadi, saya berharap (bukan sahaja syarikat konsesi), malah semua agensi terlibat perlu mengambil tindakan menyelenggara sistem perparitan dengan cara lebih baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, musibah dan bencana seperti banjir adalah tugas di bawah portfolionya, justeru beliau akan memastikan masalah itu diatasi segera.

Menurutnya, sebelum ini masalah banjir di beberapa kawasan di Krubong dan Kampung Lanjut Manis hampir keseluruhannya dapat diatasi.

“Kita berada pada musim hujan, jadi mungkin hujan dalam tempoh dua jam pasti berlaku banjir kilat.

“Insya-Allah komitmen saya memastikan perkara seperti ini kurang berlaku dan kalau boleh tidak mahu ia terjadi lagi di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1968
Kongsi :
Previous post UiTM didik masyarakat guna platform media dengan bijak
Next post Melaka terima RM25 juta pulihara tapak warisan
Ubah saiz-+=